Pandu Uji

RAKSASA  OVERLAND

Jeep kembali semula ke pasaran tempatan selepas hampir 14 tahun menyepi. Kali ini jenama dari negara Uncle Sam itu dibawakan oleh DRB Hicom. Jenama Jeep cukup terkenal hasil pengeluaran kenderaan SUV (kenderaan utiliti sport) kelas atasan.  Namun, harganya yang sedikit tinggi menjadikan pemilikan Jeep agak terbatas.  

Jeep-Grand-Cherokee-Overland-mekanika (1)

Ketika model Jeep diperkenalkan tahun lalu, Jeep Malaysia menetapkan satu standard yang tinggi. Jika anda tertarik dengan Grand Cherokee Overland (model pandu uji), harus menyiapkan sejumlah RM460,000.

Namun begitu, tentunya ia hadir dengan segudang kelebihan. Overland dijana enjin Pentastar 3.6 liter V6 bersama suspensi Quadra Lift Air (QLA) yang memberikan pengendalian selembut sedan, pada masa sama sekukuh Jeep. Versi Limited bagaimanapun tidak didatangkan dengan suspensi QLA.

Dengan adanya ciri QLA, ia mampu menyajikan jarak kelegaan tanah maksimum hingga 271mm dan 40 mm lebih rendah daripada keadaan standard. Ciri QLA memudahkan urusan keluar masuk penumpang ketika parkir. Apabila tolok gear ditolak ke  P ketinggian direndahkan (-40mm) secara automatik. Namun, saya rasa mereka yang berketinggian di bawah 150 sentimeter mungkin perlu sedikit menjengket untuk melangkah masuk ke dalam kabinnya.

Jeep-Grand-Cherokee-Overland-

Ketika mengambil Overland saya sedikit gusar dengan saiznya yang memang bagak. Jadi, memerlukan masa agak lama untuk menyesuaikan diri. Ia juga kurang ideal ketika melalui lorong sempit. Namun, itu bukanlah satu masalah besar. Sensor parkir depan dan belakang bersama bantuan kamera undur dan cermin sisi yang diubah secara automatik memberikan pandangan lebih baik terutama ketika hendak masuk ke ruang parkir.

Secara keseluruhannya, pemanduan lebih fokus di sekitar bandar. Memandu Jeep pada waktu puncak adalah selesa dan meyakinkan. Posisinya yang tinggi memberikan pandangan yang luas dan jelas kepada pemandu. Saya juga sedar ketika bersama Grand Cherokee, bukan sedikit orang yang memandang. Ternyata Jeep masih punya pengikut dan dikenali melalui model-model lamanya.

Jeep-Grand-Cherokee-Overland-mekanika-4

Keadaan jalan yang sedikit lega memberi peluang untuk saya menguji enjin 3.6 liter V6. Torquey! Itulah perkataan yang terlintas di fikiran. Enjin memberi respons dengan cepat tanpa lengahan kuasa. Aliran kuasa terasa cukup lancar.

Kemantapan serta kestabilannya membelah laluan dan rintangan angin cukup dinamik. Tidak terasa seperti sedang memandu sebuah kenderaan yang besar dan berat. Cuma ketika di gear satu, saya masih lagi mengambil pendekatan berwaspada. Kerana kuasa besar itu terkadang membuatkan jentera sedikit melompat.

Sepanjang perjalanan saya melalui pelbagai permukaan jalan raya sama ada beralun, berlubang dan bonggol. Saya dapati Grand Cherokee menawarkan keselesaan dan pengendalian di tahap maksimum. Ia meredam pelbagai keadaan jalan dengan baik tanpa memberikan pengendalian yang keras. Gejala terhentak juga tidak dirasai di dalam kabin. Tidak hairan ia dikatakan miliki ciri kelembutan sebuah sedan. Pada kebanyakan waktu, duduk di kabin adalah selesa.

Jeep-Grand-Cherokee-Overland-mekanika-6

Setelah berkelana sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur saya mengambil keputusan untuk mencuba Overland di laluan off road.  Ketika mencari lokasi off road di Putrajaya memerlukan saya melakukan pusingan-U kerana tersesat. Menariknya, Overland mudah dikendali dan mempunyai sudut pusingan radius yang sangat baik.

Difahamkan kemampuan off road Overland adalah setara dengan Wrangler. Tambahan adanya Select-Terrain dengan lima mod berbeza memudahkannya beradaptasi dengan tingkat kesukaran permukaan muka bumi.

Jeep-Grand-Cherokee-Overland-mekanika-2

Lima mod tersebut ialah Sand, Mud, Rock, Auto dan Snow. Sepanjang pemanduan saya hanya menggunakan Mod Auto yang menetapkan suspensi di tahap normal dan pembahagian tork 60/40. Tiba di lokasi off road saya menukarkan tombol di konsol tengah ke mod Mud. Saya dapati kawalan brek elektronik off road diaktifkan. Hantaran kuasa tork diedarkan 50/50. Urusan melalui jalan berlumpur mudah dilakukan ditambah bantuan kuasa enjin yang besar.

Perjalanan off road diteruskan sehinggalah tiba pada permukaan jalan yang tinggi. Pada saat ini saya berpeluang mengaplikasikan suspensi QLA. Suspensi itu menawarkan empat pelarasan ketinggian. Saya menekan butang UP. Jika mata ditumpukan pada bonet depan. Anda akan dapati secara perlahan suspensi menambah ketinggian. Operasi berkenaan mengambil masa kira-kira 10 saat.

Jeep-Grand-Cherokee-Overland-mekanika-5

Menerusi kapasiti 3.6L dijana enjin petrol tentunya soal kecekapan bahan api menjadi sedikit isu. Di awal pemanduan saya dapati kurang efisien. Namun apabila mula memandu di lebuh raya dan berhemah kecekapan petrol bertambah baik.

Cuma satu kritikan adalah tukaran gear yang tidak intuitif. Setiap kali ingin menukar posisi gear memerlukan saya memandang ke bawah. Tidaklah begitu mesra pengguna. Ketika menukar gear R apabila melihat ke bawah, saya dapati telah memasukkan ke neutral. Namun begitu, soal prestasi penghantaran kuasa dari kotak gear 8-kelajuan automatik bersama E-Shift itu adalah lancar.

Jeep-Grand-Cherokee-Overland-mekanika-10

Spesifikasi Jeep Grand Cherokee Overland

Enjin: Pentastar 3.6L V6,

Sesaran: 3,604cc

Kuasa maksimum: 284hp @ 6,350rpm

Tork maksimum: 347Nm @ 4,300rpm

Transmisi: Automatik 8-kelajuan dengan E-Shift

Ciri-ciri keselamatan: Beg udara, termasuk bahagian sisi dan bahagian lutut pemandu, ESC, Front Park Assist, Park Sense, Hill-Start Assist dan lain-lain.

Harga: RM460,880 (dengan insurans)

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button