Artikel Pilihan

RANGE ROVER KINI SUDAH BERUSIA 50 TAHUN – DAH NAK MASUK WARGA EMAS DAH

Tahun ini Range Rover akan menyambut ulang tahun pengeluarannya yang ke-50 dan pada kebiasaannya, syarikat pengeluar (Land Rover) akan mengeluarkan edisi ulang tahun yang istimewa. Tapi Land Rover sebenarnya sudah memulakan sambutan ulang tahun model mewah keluaran mereka dengan menghasilkan satu karya seni daripada ais bertempat di fasiliti ujian mereka di Arjeplog, Sweden.

Medan ujian di Arjeplog ini merupakan sebuah tasik beku yang sudah lama digunakan para jurutera Land Rover untuk menguji model-model mereka ke tahap yang ekstrim. Artis terkenal dengan ukiran ais, Simon Beck menyiapkan logo ulang tahun ke-50 Range Rover dengan berjalan sebanyak 45,000 kali di atas permukaan salji untuk menyiapkannya.

Jaguar Land Rover turut menganjurkan Ice Academy di Arjeplog di mana para pelanggan mereka boleh belajar cara untuk memandu di kawasan bersalji dan meningkatkan lagi kemahiran pemanduan mereka.

Sebagai sebahagian daripada aturcara sambutan, juara tinju Anthony Joshua turut diundang untuk merasai sendiri prestasi Range Rover dalam keadaan cuaca yang ekstrim. Joshua merupakan salah seorang peminat Range Rover dan baru-baru ini telah menempah sebuah Range Rover SVAutobiography istimewa untuk dirinya.

Ulang tahun sebenar Range Rover ialah pada bulan Jun ini. Ia mula diperkenalkan sebagai sebuah model 2-pintu pada tahun 1970 dan merupakan sebuah SUV pertama di dunia yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselematan seperti ABS, kawalan cengkaman elektronik dan sistem air suspension elektronik automatik.

Hingga hari ini keluarga Range Rover berkembang dengan pengenalan Range Rover Sport, Range Rover Evoque dan Range Rover Velar. Kini semakin banyak foto-foto spyshot beredar di laman-laman web seluruh dunia tentang Range Rover dan Range Rover Sport generasi baharu menandakan ia kemungkinan besar akan dilancarkan dalam setahun dua akan datang.

Tags
Google ads
Back to top button