Pandu Uji

RENAULT FLUENCE – RM115,000

Setelah sekian lama dikenali sebagai jenama yang menawarkan produk kepada kelompok niche, Renault kini mengambil langkah agresif untuk memasuki pasaran massa. 

SONY DSC

Terimalah pencabar baharu sedan segmen C, Renault Fluence. Dilancarkan secara rasminya pagi tadi oleh pihak TC Euro Cars Sdn. Bhd. (TC Euro Cars), jentera tersebut dipasang di kilang milik Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) di Segambut, Kuala Lumpur.

Fluence tampil dengan harga yang cukup berpatutan iaitu RM115,000 seunit (tidak termasuk insurans). Ditanya bagaimana TC Euro Cars boleh menawarkan harga yang begitu kompetitif, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars, Kuan Kim Luen menyatakan harga itu dapat direalisasikan menerusi sokongan padu daripada Renault dan lokalisasi produk, selain ingin menawarkan nilai terbaik kepada pelanggan.

SONY DSC

Memang tidak dapat dinafikan, dengan harga itu Fluence pasti berada dalam senarai mereka yang ingin mendapatkan sebuah sedan segmen C. Apa yang pasti, Fluence menawarkan dinamik pemanduan sebuah kereta Eropah.

Selain harga, Fluence membezakan dirinya dengan pesaing lain menerusi pakej perkhidmatan selepas jualan yang amat komprehensif. Para pelanggan pasti gembira apabila mendapat tahu bahawa Fluence hadir bersama jaminan pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan.

SONY DSC

Pemilik juga diberi pakej penyelenggaraan percuma selama dua tahun atau 40,000km untuk alat ganti serta kos buruh. Jika membelinya sekarang hingga Jun 2014, anda akan diberikan lanjutan servis percuma selama tiga tahun lagi!

Menyentuh tentang alat ganti pula, pemilik Fluence diberikan jaminan selama setahun tanpa had perbatuan untuk alat ganti, minyak pelincir dan aksesori tulen Renault. Faham tentang kesibukan pelanggannya, TC Euro mengambil inisiatif menawarkan perkhidmatan mengambil kereta untuk diselenggara secara percuma.

SONY DSC

Katakan kereta terpaksa diservis melebih 48 jam dan anda tidak mempunyai kereta lain untuk digunakan. Jangan bimbang, TC Euro Cars akan meminjamkan Fluence sehingga kereta anda boleh digunakan semula.

Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif TC Euro Cars, Kuan Kim Luen memberitahu bagi meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan selepas jualan, pihaknya akan memiliki 16 pusat servis Renault di seluruh negara menjelang tahun 2016.

SONY DSC

TC Euro Cars mensasarkan untuk menjual 100 unit Fluence sebulan atau kira-kira 1,000 unit pada tahun ini. Anak syarikat Tan Chong itu juga berhasrat memperoleh penguasaan pasaran sekitar 1.5 peratus.

SONY DSC

Melihat pada fizikalnya, Fluence ini adalah model facelift. Ia dapat dikenal pasti dengan mudah melalui gril hadapan dan logonya yang tidak mengikuti wajah korporat terbaharu Renault.

SONY DSC

Fluence dijana oleh unit enjin bersesaran 2.0 liter yang dipadankan bersama transmisi X-Tronic CVT. Enjin yang digunakan pada model Nissan Sylphy itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 143hp dan tork puncak 195Nm.

Sedan ini juga menggunakan sistem suspensi jenis topang MacPherson pada roda hadapan dan torsion beam di belakang dengan brek cakera di keempat-empat tayar.

SONY DSC

Ruang kabin Fluence dimonopoli oleh tona hitam. Instrumentasi digital Fluence disempurnakan lagi dengan sistem multimedia Renault R-Link. Dioperasi melalui paparan skrin sentuh bersaiz tujuh inci dan arahan suara, Renault R-Link merangkumi sistem navigasi, fungsi telefon serta boleh disambungkan dengan pelbagai peranti muzik menerusi Bluetooth dan soket.

SONY DSC

Tidak berkompromi dari aspek keselamatan, Fluence didatangkan bersama ciri-ciri seperti brek ABS, EBD, BA, Electronic Stability Control (ESP) dengan Anti-Skid Regulation (ASR) dan enam beg udara.

SONY DSC

Jika berminat, Fluence hadir dalam empat warna iaitu, hitam, putih, perak dan kelabu.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button