
ROYAL ENFIELD HUNTER 350 BAKAL TIBA DI MALAYSIA – 20.2HP/27NM, LEBIH MAMPU MILIK
Sejak diperkenalkan di pasaran global Ogos tahun lalu, kini Royal Enfield Hunter 350 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada 9 Mac depan.
Pengumuman pelancaran model itu dibuat sewaktu perasmian pembukaan pusat pameran Royal Enfield terbaru di Pulau Pinang.
Tampil dengan rekaan scrambler retro, Royal Enfield Hunter 350 dibangun menggunakan platform yang sama dengan model Royal Enfield Classic 350 dan Meteor 350.

Sama seperti model 350 sebelum ini, Hunter 350 akan dikuasakan oleh enjin satu silinder 349cc yang menghasilkan 20.2hp pada 6,100rpm dan tork 27Nm pada 4,000rpm. Kuasa tersebut disalurkan ke tayar belakang dengan transmisi 5 kelajuan.
Enjin J-series 349cc itu berupaya mencapai kelajuan maksima 114km/j dengan tahap penggunaan bahan api yang baik iaitu 36km per liter.
Royal Enfield Hunter 350 mempunyai berat 177kg, panel meter kombinasi analog, digital, brek cakera tunggal depan dan belakang yang dilengkapi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Selain itu, Royal Enfield Hunter 350 memiliki kapasiti tangki bahan api 13 liter, ketinggian pelana 800mm dan set roda bersaiz 110/70-17 (depan) serta 140/70-17 (belakang).
Untuk harga, tiada pengumuman rasmi dibuat setakat ini namun sebagai perbandingan, Royal Enfield Hunter 350 dijual lebih murah di Indonesia berbanding Classic 350 (RM34,830).
Jadi, kita mungkin boleh menganggarkan bahawa Royal Enfield Hunter 350 akan dijual lebih murah di pasaran Malaysia. – Pandulaju