
SEGMEN KAPCAI MARHAEN ADA PESAING BAHARU DENGAN AVETA DY115 – DARI RM3,988
AVETA Malaysia dengan rasminya memperkenalkan motosikal baharu dengan harga mampu milik kali ini menerusi DY115.

Kapcai yang menggabungkan gaya klasik dan moden itu hadir dengan harga hanya RM3,988 bagi veri Standard dan RM4,088 bagi versi SE sekaligus menjadi antara model paling mampu milik bagi pasaran tempatan selain pesaing terdekat SM Sport 110E.

Atas kertas, DY115 ini dikuasakan enjin satu silinder 113.3cc dengan karburator yang berkemampuan menjana 8.7hp pada 8,000rpm dan 9Nm pada 5,500rpm.

Sistem suspensi juga lebih konvensional dengan gabungan fork teleskopik depan dan dua penyerap hentak berkembar di belakang. Pakej brek pula terdiri dari cakera brek depan dan dram brek di belakang.
Menurut AVETA, DY115 ini amat sesuai untuk penunggang lelaki dan wanita serta warga emas ekoran hanya seberat 91kg sahaja di samping menampilkan tangki 4.2L.

Menariknya, bagi mereka yang mahu menggunakan DY115 ini untuk tujuan penghantar barangan atau makanan, motosikal ini turut dilengkapi dengan pengecas USB Type-A dan Type-C.
GALERI: AVETA DY115 2025











