Motosikal

SKUTER ADVENTURE WMOTO XDV 250i KINI DI MALAYSIA. 2 VARIAN, 24HP, BERMULA RM19K SAHAJA! 

Pasaran skuter adventure di Malaysia nampaknya semakin meriah apabila MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan skuter adventure bersesaran 250 cc, WMOTO XDV 250i 2023 ke pasaran tempatan secara rasmi pada hari ini. 

Harus tahu bahawa jentera berkenaan adalah model rebadge Longjia XDV 250Si yang sudahpun dijual di China. 

Skuter tersebut hadir dalam varian iaitu Standard dan Project X. Perbezaannya ialah varian Project X dipasang dengan kotak penyimpanan barang, rim lidi dan visor lebih tinggi.

Varian Standard ditawarkan pada harga RM18,888 manakala Project X berharga RM21,888 seunit.

WMOTO XDV 250i menggunakan enjin enjin silinder tunggal bersesaran 244.3cc dengan sistem penyejukan cecair yang dipadankan dengan transmisi automatik CVT. 

Enjin NEXUS 250S SOHC yang dibekalkan oleh Zongshen itu mampu menjana kuasa mencecah 24hp pada 9,750rpm dan tork 22.5Nm pada 6.750rpm. Dengan berat sekitar 168kg, kuasa itu membolehkannya memecut sehingga 130km/j. 

Sistem suspensi pula terdiri daripada fork USD Kayaba 37mm di hadapan dan penyerap hentak tunggal Kayaba di belakang. Aspek keselamatan ditingkatkan menerusi penggunaan brek bersama angkup J.Juan dengan rotor bersaiz 240mm di depan dan 220mm di belakang. Ia turut dilengkapi sistem brek ABS dua saluran.

Di bawah pelana yang setinggi 800mm, XDV 250i menawarkan ruang meletakkan barang seluas 26 liter yang boleh menyimpan sebuah topi keledar full-face tanpa sebarang masalah. Kapasiti tangki sebesar 13.5 liter, di samping slot pengecasan USB, paparan skrin berwarna LCD bersaiz 5 inci dan penghadang angin yang boleh dilaras.

Paparan itu menyediakan maklumat seperti tekanan tayar, minyak, jam dan sebagainya.

Ia juga didatangkan dengan sistem keyless yang membolehkan penunggang memulas butang untuk menghidupkan enjin. 

Jentera ini menambah lagi portfolio skuter sedia ada daripada WMoto yang sudahpun menawarkan RT3, ES250i, ES125 dan Extreme 150i.

Jika berminat, XDV 250i 2023 boleh didapati di semua pengedar sah WMoto bermula esok. Pelanggan boleh mendapatkan pelbagai aksesori seperti kotak belakang, kiri dan kanan.

MForce Bike Holding mensasarkan untuk menjual 5,000 unit XDV 250i 2023 setahun.

GALERI

Google ads
Back to top button