Motosikal

SKUTER BANGSAWAN YAMAHA TMAX TECH MAX 2022 DILANCARKAN. 562CC, 46.9HP, BERMULA RM75K. 80 UNIT SUDAH HABIS DITEMPAH!

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini melancarkan skuter maxi mewah Yamaha TMAX TECH MAX ke pasaran Malaysia. Tampil dengan rekaan garang dan pelbagai ciri termaju, jentera berkenaan menjanjikan tunggangan yang mengujakan. 

Yamaha TMAX TECH MAX mendapat maklum balas yang sangat memberangsangkan. Buktinya, lebih 40 unit telah ditempah dalam tempoh dua minggu selepas tempahannya dibuka.

Kumpulan kedua model pemasangan tempatan (CKD) yang melibatkan 40 unit lagi dan dijadual tiba pada November juga sudah habis ditempah. 

Skuter itu digerakkan oleh enjin bersesaran 562cc bersama chasis lebih ringan untuk tunggangan yang lincah.  Antara penambahbaikan yang diterima pada enjin itu termasuklah Yamaha Chip Controlled Throttle (Y-CCT) kini hadir dengan ciri Accelerator Position Sensor Grip (APSG) untuk pendikit yang lebih lancar.  

Enjin itu mampu menjana 46.9hp pada 7,500rpm dan tork sekitar 55.7Nm pada 5,250rpm. Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi V-Belt automatik. 

Talaan suspensi baharu pada rim SpinForged yang ringan pula menawarkan tunggangan lebih stabil ketika mengambil selekoh. 

Sistem dan susun atur motosikal itu direka untuk memberi kemudahan. Antaranya ialah penutup tangki minyak yang dioperasi secara elektrik, pelana belakang boleh laras dan panel suis baharu yang ergonomik.  

Ia juga dilengkapi paparan TFT berwarna penuh bersaiz tujuh inci dengan tiga mode paparan. Ketersambungan telefon pintar  “MyRide-Link” membolehkan penunggang menikmati muzik sepanjang perjalanan. 

Yamaha TMAX TECH MAX direka dengan badan lebih kompak bersama sayap hadapan yang aerodinamik dan nampak premium. Lampu belakang baharu berbentuk boomerang dan lampu utama mono fokus menyerlahkan lagi penampilannya. 

Skuter itu akan menjadi antara model berkuasa tinggi pertama yang diperkenalkan ke pasaran tempatan. 

Yamaha TMAX TECH MAX didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Dark Petrol and Power Grey dan sudah berada di semua pengedar Yamaha bermula pertengahan Oktober. 

Jentera yang hebat ini boleh anda miliki pada harga bermula RM74,998 (tidak termasuk yuran pendaftaran dan insurans) 100 orang pembeli terawal akan menerima set hadiah TMAX premium. 

GALERI

Google ads
Back to top button