Motosikal

SUZUKI ASSEMBLERS MALAYSIA TUTUP OPERASI 1 JULAI 2020! GANTI DENGAN SYARIKAT BAHARU, SUZUKI MALAYSIA SDN. BHD!!

Pada tahun 2016, pengilang motosikal jenama Suzuki, Suzuki Assemblers Malaysia mengambil keputusan untuk menutup kilang pengeluarannya di Prai, Pulau Pinang. 

Kilang yang dibuka sejak tahun 1971 bertanggungjawab menghasilkan banyak model popular Suzuki seperti GP100 (Jipang), RC, Suzuki Best, Panther, Gamma RG, RGV, RGX dan FXR150.  

Langkah yang mengejutkan itu dibuat tidak lama selepas Suzuki Malaysia Automobile (SMA) mengundurkan diri daripada pasaran kereta di Malaysia. Angka jualan yang tidak memberangsangkan menjadi punca utama kenapa Suzuki bertindak untuk keluar dari negara ini. 

Biarpun kilang ditutup, Suzuki Assemblers Malaysia tidak menghentikan operasinya 100 peratus. Sebaliknya, ia masih beroperasi dengan menawarkan model-model import sepenuhnya dari Jepun.

Buktinya, tahun lalu Suzuki Assemblers Malaysia membawa masuk jentera ikonik, Katana ke pasaran Malaysia pada harga RM85,000 seunit. 

Namun, semua itu nampaknya sudah berakhir apabila kami ada menerima salinan surat yang dikongsi di media sosial, menyatakan bahawa Suzuki Assemblers Malaysia akan menutup sepenuhnya operasinya di sini. Surat rasmi yang dihantar keperada semua pengedar sah Suzuki tersebut bertarikh 1 Julai 2020. 

Isi kandungan surat itu adalah seperti berikut: 

PENUTUPAN SUZUKI ASSEMBLERS MALAYSIA SDN. BHD. 

Kami ingin memaklumkan kepada semua pengedar Suzuki bahawa Suzuki Assemblers Malaysia akan menutup perniagaannya di Malaysia. 

Bagi mematuhi prosedur operasi standard kami, kami ingin memaklumkan kepada semua pengedar yang semua transaksi perniagaan akan dihentikan berkuat kuasa pada 1 Julai 2020. Justeru, 

  1. Kami akan menamatkan semua kontrak pengedar Suzuki berkuat kuasa pada 31 Julai 2020
  2. Semua jaminan bank kepada Suzuki Assemblers Malaysia akan dipulangkan kepada syarikat anda, pada atau sebelum 15 Ogos 2020
  3. Semua deposit tunai akan dipulangkan kepada syarikat anda, selepas ditolak sebarang tunggakan jika ada, menerusi perbankan internet pada atau sebelum 15 Ogos 2020
  4. Perniagaan masa depan akan dikendalikan oleh Suzuki Malaysia Sdn Bhd. (SMSB). Wakil SMSB akan menghubungi anda nanti
  5. Jika ada sebarang pertanyaan, sila hubungi pejabat kami. 

Kami ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan anda kepada Suzuki Assemblers Malaysia selama ini. Kami juga berharap anda akan terus menawakan perkhidmatan selepas jualan kepada para pelanggan. 

Surat tersebut ditandatangani sendiri oleh Pengarah Urusan Suzuki Assemblers Malaysia, Kunihiko Uetsuki. 

Jadi, jelaslah bahawa Suzuki Assemblers Malaysia akan menamatkan operasinya, tetapi akan digantikan dengan sebuah syarikat baharu iaitu Suzuki Malaysia Sdn Bhd. (SMSB). 

Apakah pendekatan SMSB nanti? Adakah pemasangan tempatan akan dilaksanakan semula atau sekadar menjual motosikal CBU, hanya masa akan menentukannya.

Kita tunggu dan lihat apa strategi Suzuki untuk pasaran Malaysia.  

Google ads
Back to top button