Motosikal

SUZUKI JAPAN LANCAR KATANA MERAH. TERHAD 100 UNIT. HARGA RM62.3K

Suzuki Japan baru-baru ini memperkenalkan Katana dengan warna merah istimewa yang dikenali sebagai Candy Darling Red dan terhad kepada 100 unit sahaja.

Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan di laman web Suzuki, S-MALL bermula 11 Januari 2021 dan ia berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat.

Ditawarkan pada harga 1.6 juta yen (RM62,300) seunit, warna tersebut merupakan tambahan kepada warna sedia ada iaitu perak dan hitam.

Katana dengan kedua-dua warna itu bagaimanapun dijual pada harga lebih rendah, sekitar 1.54 juta yen (RM60,150).

Warna merah itu dipilih berdasarkan kepada kaji selidik warna Katana, satu projek yang dijalankan oleh Suzuki Web Motorcycle Show di laman web rasmi Suzuki pada 27 Mc tahun lalu.  

Tona baharu itu dilihat mampu menyerlahkan lagi rekaan unik Katana. Warna merah turut dioles pada rim. Sementara hendal bar dan fork hadapan menerima kemasan warna emas.

Kontras warna itu diteruskan dengan calitan warna hitam pada bahagian enjin, panel tengah badan dan swingarm. Penampilannya disempurnakan lagi dengan jahitan benang merah pada kusyen tempat duduk.

Katana itu masih menggunakan enjin empat lejang empat silinder sebaris DOHC bersesaran 998cc.

Enjin dengan sistem penyejukan cecair itu mampu menjana kuasa mencecah 146hp dan tork 107Nm. Ia kemudian dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan.    

Ciri standard yang lain termasuklah fork USD KYB 43mm boleh laras, kluster meter digital, serta lampu utama dan DRL LED.

GALERI

Google ads
Back to top button