SUZUKI RAIDER R150 FI DAN KAPCAI BERKUASA TINGGI WAJIB DIHARAMKAN – KPN
Satu klip video ujian dyno yang dilakukan ke atas sebuah Suzuki Raider R150 Fi yang dilihat mampu mencatat kelajuan mencecah 177km/j nyata mendapat perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Justeru, beliau melahirkan kebimbangan terhadap lambakan kapcai berprestasi tinggi sejak akhir-akhir ini dan menyatakan bahawa kewujudan jentera seperti itu menjadi antara punca utama peningkatan kadar nahas jalan raya.
“Inilah (kapcai laju) antara penyumbang kepada tingginya kemalangan dan kematian dalam kalangan penunggang motosikal dan (kegiatan) merempit,” katanya.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Acryl menyarankan model kapcai lincah berkemampuan tinggi yang ditunggang melebihi had laju wajib itu dilarang berada di jalan raya serta penjualannya di pasaran diharamkan.
Saranan itu adalah susulan pendedahan beberapa portal berita automotif tempatan yang melaporkan keterujaan pengguna terhadap motosikal tersebut.
“Kenderaan (kapcai) seperti ini wajib diharamkan di Malaysia (kerana) tidak ada relevensi kelajuan 177 km/j di jalan raya sedangkan had laju maksimum adalah 110 km/j (di lebuh raya),” tegas Acryl.
Menerusi ujian teliti pada mesin “dyno”, kapcai yang dijual pada harga RM8,173 (tidak termasuk cukai jalan dan insurans) itu mampu merekodkan kelajuan maksimum di antara 150 km/j hingga 160 km/j. Dyno ialah sebuah peranti yang berfungsi mengukur daya, tork atau kuasa sesebuah kenderaan.
Acryl turut menggesa Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) memainkan peranan utama dalam mengkaji arah tuju permotoran serta merangka polisi motosikal selamat pada masa hadapan. “Miros hendaknya jadi badan pendesak,” tambahnya.
Statistik nahas setakat Ogos tahun lalu menunjukkan bahawa bagi setiap 10 orang yang maut di jalan raya, tujuh merupakan pengguna motosikal dengan majoriti kematian adalah terdiri daripada pengguna kapcai.
Sejak 2019, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melancarkan “perang” ke atas kapcai popular Yamaha 15ZR atau lebih dikenali sebagai Y-Suku yang dikatakan mampu mencecah kelajuan 160 km/j setelah diubah suai dan kerap digunakan sebagai kenderaan lumba haram.
Pada mesyuarat agung tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya tiga tahun lalu, seorang pegawai kanan JSPT mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan agar kategori pelesenan motosikal B3 yang baharu diwujudkan untuk golongan belia dengan hanya dibenarkan menunggang motosikal elektrik berkuasa rendah atau motosikal “combustion” 100cc ke bawah menjelang 2025.
“Jika kita mempunyai kategori pemegang lesen baharu ini, ia boleh menyelamatkan banyak nyawa. Ia akan memanfaatkan negara. Jika kita mempunyai dasar jangka panjang bagi mengawal kumpulan sasaran 16 hingga 25 tahun dan membentuk budaya baharu untuk mereka hanya menunggang motosikal berkuasa rendah,” kata Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JSPT, Bakri Zainal Abidin.
Enam bulan lalu, seorang perancang pengangkutan menyarankan agar motosikal kapcai “underbone” dihentikan penjualannya di pasaran secara berperingkat dan digantikan dengan motosikal elektrik berkuasa rendah untuk membendung kematian dan nahas jalan raya yang tinggi dalam kalangan penunggang motosikal. – FMT
- BACA: SUZUKI MALAYSIA KEMBALI RANCAKKAN PASARAN NEGARA. LANCAR 6 MODEL BAHARU
- BACA: SUZUKI RAIDER 150 2021 VERSI NAIK TARAF BAKAL MENCABAR EXCITER 155 VVA, WINNER X DI VIETNAM
- BACA: SUZUKI VIETNAM LANCAR RAIDER R150 SPECIAL EDITION. HARGA RM8,900 SEUNIT
- BACA: TIADA LAGI BELANG, SUZUKI MALAYSIA LANCAR RAIDER R150 Fi 2022. 18.2HP, RM8,173