Motosikal

TEMPOH PERALIHAN TAMAT, EMOS KINI PENGEDAR EKSKLUSIF MOTOSIKAL KAWASAKI

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), pengedar rasmi motosikal nasional, Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) kini merupakan pengedar eksklusif baharu pengeluar motosikal Jepun KAWASAKI di Malaysia.

Ini berikutan tempoh selama enam bulan bersama KMSB Motors Sdn. Bhd. sudah tamat.

Tempoh peralihan yang berakhir pada 31 Mac 2022 membolehkan EMOS untuk memerhati, mempelajari dan menyesuaikan sepenuhnya operasi perniagaan rakan kongsi teknikalnya, Kawasaki Motors, Ltd. (KMC) demi memastikan pemindahan pengetahuan sebanyak yang mungkin.

KMC kini memiliki 30 peratus ekuiti dalam MODENAS bersama DRB-HICOM Berhad sebagai pemegang saham majoriti syarikat motosikal nasional itu.

“Pemilik motosikal KAWASAKI tidak perlu bimbang kerana di bawah pengurusan baharu, kualiti produk dan perkhidmatan pelanggan akan dikekalkan. Kami juga merancang untuk memperluaskan operasi, membangun, mengeluar dan menjual motosikal KAWASAKI.

“Selain itu, MODENAS akan memperkenalkan model terbaharu KAWASAKI dan melancarkan bilik pameran eksklusif KAWASAKI secara berperingkat. Nantikan pengumuman dari kami mengenai perkara ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan.

Google ads
Back to top button