TERKINI: HONDA CBR650R/CB650R E-CLUTCH SAH MASUK MALAYSIA 2025
Berita baik buat peminat motosikal Honda apabila kami difahamkan bahawa dua model baharu, Honda CBR650R dan CB650R generasi terbaru akan dipasarkan di Malaysia pada 2025.
Lebih menarik, kami dimaklumkan bahawa kedua-dua model baharu itu akan ditawarkan dengan versi “E-Clutch” dengan beberapa pengedar sudah pun mula membuka tempahan awal.
Untuk rekod, generasi terbaru CBR650R dan CB650R kini bukan sahaja hadir dengan reka bentuk dan gaya baharu malah turut dipadankan bersama teknologi Honda E-Clutch yang merupakan inovasi terkini dari pengeluar Jepun itu.
Honda E-Clutch
Honda E-Clutch merupakan sistem elektronik terbaru yang telah pun dipertontonkan kepada umum pada awal Oktober lalu dengan Honda mendakwa teknologi itu merupakan yang pertama di dunia yang membolehkan penunggang untuk “hidup dan matikan enjin serta tukar gear (sewaktu bergerak) tanpa perlu menarik klac”.
Ketika dalam keadaan bergerak, sistem tersebut berfungsi seperti quickshifter biasa – hanya perlu memijak pedal bagi menukar gear tanpa perlu menarik klac.
Bagaimanapun, E-Clutch ini juga membolehkan klac tidak perlu ditarik ketika mahu bergerak dari keadaan berhenti atau ketika mahu berhenti sekaligus melancarkan proses pertukaran gear.
Reka Bentuk
Selain itu ciri yang menonjol terarah kepada reka bentuk pada CBR650R dan CB650R dengan masing-masing mendapat reka bentuk lebih segar bagi tahun 2024.
Honda CBR650R hadir dengan reka bentuk lampu baharu, tempat duduk baharu serta reka bentuk panel badan berbeza sementara CB650R dikemas kini dengan lampu, tempat duduk dan ekor baharu.
Kedua-duanya juga dilengkapi dengan panel meter TFT berwarna dengan fungsi Honda ‘RoadSync’ mengggantikan panel meter digital LCD sebelum ini.
Enjin
Meskipun menerima pelbagai peningkatan namun CBR650R dan CB650R masih lagi dikuasakan enjin empat silinder 649cc yang sama dan kekal menghasilkan 92hp pada 12,000rpm. Pakej suspensi juga kekal dengan Showa SFF-BP (Separate Function Fork-Big Piston) 41mm jenis USD yang dipadankan bersama brek radial 4-piston berkembar dan cakera 310mm.
Antara perincian lain ditawarkan termasuk:
- HSTC (Honda Selectable Torque Control)
- pengecas USB
- rim 17-inci
- tangki bahan api 15.4L