VESPA PRIMAVERA SEAN WOTHERSPOON. SKUTER WARNA-WARNI, RM24,960 SEUNIT
Didi Resources baru-baru ini memperkenalkan Vespa Primavera Sean Wotherspoon. Ia merupakan hasil kerjasama Vespa dengan pereka fesyen terkenal tersebut.
Sean Wotherspoon merupakan antara pereka fesyen yang sedang meningkat naik di Amerika Syarikat. Dia disifatkan sebagai pereka yang penuh tenaga, gemar bereksperimen dan fanatik terhadap budaya jalanan dari segi penggunaan warna serta fesyen.
Namanya kian terkenal di Malaysia, terutama selepas kolaborasinya dengan sebuah jenama kasut.
Vespa Primavera Sean Wotherspoon tampil dengan gayaan baharu yang mensasarkan golongan urban muda. Sean memberikan elemen vintaj kontemporari menggunakan gaya old school, bersama padanan kaleidoskopik yang popular sekitar tahun 1980 dan 1990-an.
Livery skuter yang menggunakan enjin I-get selinder tunggal bersesaran 150cc itu menyerlahkan warna-warna 1980-an seperti merah, kuning, hijau gelap dan biru. Warna putih yang kontras dicalit pada tie hadapan dan bingkai hadapan membuatkan skuter itu memang lain dari yang lain.
Rekaan itu disempurnakan lagi dengan kemasan krom pada perumah lampu utama, rak barang dan hendal pembonceng. Kemasan berwarna hitam pula dibero pada pemegang hendal dam penutup peredam ekzos.
Plastik berwarna merah digunakan pada pelantar kaki dan bahagian bawah kepala Vespa ini.
Sean memilih warna coklat muda dan kemasan putih untuk pelana. Model ini lebih eksklusif dengan tulisan Primavera berwarna putih pada bahagian sisi dan logo Vespa di hadapan.
Gabungan material seperti besi, plastic, baldu dan getah dihasilkan dengan harmoni. Seperti tradisi sebuah Vespa, badannya diperbuat daripada besi yang menjadikannya cukup kukuh.
Selain Vespa Primavera, Sean turut menghasilkan satu koleksi pakaian jalanan. Ia merangkumi dua rekaan kemeja-T, satu hoodie dan seluar.
Koleksi itu mengekalkan warna-warna cerah Vespa Primavera Sean Wotherspoon. Anda boleh mendapatkan koleksi edisi terhad itu di kedai Crossover di Sunway Pyramid dan Southkey Mall di Johor.
Vespa Primavera Sean Wotherspoon ditawarkan pada harga RM24,960 seunit dan boleh didapati bermula Oktober 2020 di semua rangkaian pengedar Vespa di seluruh negara.
- BACA: VESPA MALAYSIA LANCAR VESPA PRIMAVERA (RED) 150CC. RM19,500 SEUNIT, PERCUMA HELMET
- BACA: VESPA SEI GIORNI II EDITION. REKAAN KLASIK, ENJIN 300 HPE. RM34,500 SEUNIT
- BACA: VESPA RACING SIXTIES GTS SUPER, SPRINT GAYA SPORTY 60-AN. HARGA BERMULA RM19,100
- BACA: VESPA LANCAR PRIMAVERA S SPECIAL EDITION 150, SPRINT S 150. BERMULA RM16.9K
GALERI