
ANDRE VILLAS-BOAS BAKAL MEMANDU JENTERA WRC DI RALI PORTUGAL
Nama Jurulatih bolasepak tersohor suatu ketika dahulu André Villas-Boas cukup dikenali di Liga Perdana Inggeris sewaktu beliau melatih dua kelab yang agak lemah, Chelsea dan juga Tottenham Hotspur namun kemudiannya terus sedikit tenggelam. Namun ianya bukanlah rahsia apabila André Villas-Boas ini turut meminati sukan rali dan beliau turut pernah beraksi dalam Rally de Portugal sebelum ini bersama jentera Rally2.
Dan kini, André Villas-Boas sekali lagi bakal beraksi di Rally de Portugal pada 19 – 22 Mei ini apabila sahih bakal memandu jentera WRC, Citroen C3 WRC. André Villas-Boas sememangnya turut dikenali sebagai peminat sukan permotoran apabila pernah beraksi di Dakar Rally pada tahun 2018 dan beraksi dalam saingan Rally de Portugal pada tahun 2021 bersama jentera Citroen C3 Rally2 dalam usaha memupuk kesedaran terhadap badan kebajikan yang diwakilinya.
Bagi tahun tahun ini nampaknya persiapan beliau tampak lebih hebat lagi apabila memilih untuk beraksi dengan jentera Citroen C3 WRC. Menariknya apabila Andre Villas-Boas telah pun membeli jentera tersebut secara terus melalui PSA Group. Citroen C3 WRC sebetulnya pernah digunakan oleh Esapekka Lappi.
“Saya suka mengumpul kereta yang berprestij. Saya sentiasa mahukan sebuah kereta rali, jadi saya mula menyiasat”, menurut beliau.

Pada mulanya beliau masih ragu – ragu tentang kereta rali yang dimahukan. Mujur juga Andre Villas-Boas ini mempunyai hubungan yang baik bersama PSA Group. Dan kereta rali yang terlintas adalah Citroen C4 WRC milik Sebastian Loeb. Namun malangnya jentera tersebut perlu dibina semula memandangkan usia yang telah melebihi 10 tahun serta ianya turut pernah digunakan beberapa kali oleh beberapa pemandu sebelum ini.
Maka timbullah cadangan untuk mendapatkan Citroen C3 WRC ini. Dan usaha untuk urusan perjanjian berjaya diputuskan bersama pihak PSA Group dan Andre Villas-Boas ini. Malah beliau sendiri telah memandu uji di Lousada dan juga Vieira do Minho
Walau bagaimana pun, Andre Villas-Boas ini hanyalah akan berlumba di beberapa peringkat tertentu sahaja di Portugal, sebagai sebahagian daripada sambutan musim WRC ke 50 dan juga kesedaran Race for Good yang turut diwakili beliau.
BACA : ANDRE VILLAS-BOAS – DARIPADA PADANG BOLA SEPAK KE TREK BERDEBU