Motosikal

BERAPA TOP SPEED YAMAHA EXCITER 155 VVA 2021 GP EDITION? 135KM/J, IKUT GPS LAH…

Baru-baru ini, peminat Yamaha di Malaysia dikejutkan dengan berita kemasukan model Yamaha Exciter 155 VVA 2021 GP Edition ke pasaran tempatan.

Diimport sepenuhnya terus dari Vietnam, jentera itu bukanlah dibawa masuk oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM). Sebaliknya ia didatangkan khas oleh sebuah syarikat bebas iaitu ESR Motor.  

Apa yang menarik, ESR Motor telah menguji kelajuan sebenar kapcai tersebut di jalan raya.

Ramai yang tertanya-tanya, adakah jenderaan dengan enjin VVA itu lebih laju atau berkuasa berbanding model sedia ada di kedai-kedai motosikal di Malaysia.

Bagi membuatkan penilaian atau ujian itu lebih adil, ESR Motor menyatakan bahawa Yamaha Exciter 155 VVA 2021 GP Edition berkenaan tidak menerima sebarang bentuk pengubahsuaian. Standard habis.

Jadi, apakah kelajuan maksimum yang berjaya dicapai oleh kapcai tersebut? Hasil ujian yang dilakukan, Yamaha Exciter 155 VVA 2021 GP Edition mampu mencatat kelajuan maksimum 135km/j, berdasarkan kepada catatan peranti GPS.

Video ujian berdurasi 1 minit 15 saat yang dikongsi di laman Facebook ESR Motor itu setakat ini telah menerima 15,000 tanda Like dan 984 komen!

Rata-ratanya tidak impress dengan kelajuan yang dicatat oleh moped berkenaan. Malah, tidak kurang yang membandingkan dengan kelajuan pernah dicatatkan oleh Youtuber di Vietnam sebelum ini iaitu sekitar 157km/j.

Sedia maklum, berbanding kelajuan yang dipaparkan oleh GPS, meter pada motosikal biasanya lebih ringan. Maka, kelajuan yang dicatat oleh jentera itu adalah sekitar 145km/j.  

Lagi satu, kelajuan sesebuah motosikal banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor lain. Misalnya berat penunggang, kondisi jalan dan sebagainya.

Jika anggaran itu tepat, boleh dikatakan prestasi Yamaha Exciter 155 VVA sebenarnya jauh lebih baik daripada Yamaha Exciter 150 generasi sebelumnya.

Masih belum dapat dipastikan bilakah HLYM akan membawa masuk model ini. Sekiranya diperkenalkan nanti, ia mungkin dikenali sebagai Yamaha Y15ZR V3  atau Yamaha Y155ZR VVA.

Tonton video tersebut di pautan top speed Yamaha Exciter 155 VVA 2021 GP Edition, enjoy! – ArenaMotosikal

Google ads
Back to top button