Artikel Pilihan

BERBALOI KE BELI KERETA BAHARU YANG SUDAH LAMA?

Membeli kereta baharu memang satu pengalaman yang menyeronokkan tapi kalau tidak kena cara lain pula ceritanya. Membeli kereta sudah tentu tidak semudah membeli baju ataupun sekampit beras siam wangi. Ia banyak bergantung kepada jurujual yang melayan anda, harganya juga mungkin berbeza begitu juga dengan diskaun yang ditawarkan. Begitu juga dengan tarikh penghantaran cepat atau lambat. Kereta baharu yang sudah lama bermaksud model semasa yang akan digantikan dengan model terbaru. Biasanya harganya akan diturunkan sedikit kerana ramai pengguna semestinya menunggu model terbaru berbanding model sebelumnya.

Betul ke kereta pameran ataupun model pandu uji boleh dibeli dengan harga murah?

Betul, kenderaan pandu uji biasanya sudah didaftarkan sebelumnya dan ia sudah dikira kereta terpakai. Cuma kelebihannya ialah ia mempunyai perbatuan yang lebih rendah dan semestinya dijaga dengan baik oleh syarikat pengedar untuk menarik minat pelanggan semasa sesi pandu uji.

Kereta pameran ataupun display unit adalah lebih mahal kerana ia tidak pernah didaftarkan dan cuma dipamerkan dibilik pameran. Alah yag masuk tengok pun setakat cuba duduk, pegang stereng dan menyentuh bahagian-bahagian tertentu secara luaran. Setakat ni rasanya tak ada lagi yang masuk bilik pameran minta tengok palam pencucuh kereta kan?

Diskaun juga berdasarkan usia dan keadaan kereta pandu uji itu sendiri. Kalau dah teruk sangat tu memang besar la diskaunnya.

Mana lagi baik, beli awal tahun atau hujung tahun?

Berdasarkan pemerhatian kami sebenarnya sama sahaja. Yang membezakannya ialah tarikh  ataupun masa kereta tersebut dipasang ataupun dihasilkan. Nilai kereta biasanya dinilai dari tarikh pemasangan. Jadi walaupun dalam iklan kereta terpakai ditulis “Daftar pada penghujung tahun 2015”, nilai sebenar kereta itu dinilai pada tarikh ia dipasang iaitu 2015. Bagi model import mungkin lain sikit kerana ada yang dipasang setahun ataupun dua tahun lebih awal sebelum terjual.

Saya nak kereta stok lama sebelum keluar model terbaru, apa mesti saya buat?

Boleh, tapi rahsianya ialah korang kena tahu bila model terbaru akan dikeluarkan. Ini kerana bila model baharu sudah diumumkan, syarikat pengedar akan berhenti menempah dan akan berusaha menghabiskan stok sedia ada di dalam gudang mereka. Lagi bagus kalau korang ada kawan yang berkerja sebagai jurujual kereta. Senang sikit nak korek info.

Pilihan warna, pilihan gred dan kemasan kini sudah menjadi terhad. Kalau dapat pun warna dan gred yang anda kehendaki itu memang sudah rezeki anda. Biasanya harganya juga akan diturunkan sedikit untuk menarik minat pembeli pembeli menghabiskan stok mereka.      

Okey ke beli yang gred paling rendah?

Juga dikenali dengan nama base model. Ia memang lebih murah berbanding model gred tinggi (full-spec) ataupun gred pertengahan tapi setiap benda memang ada baik danada buruk. Biasanya kalau saya beli kereta saya akan beli unit full-spec. Kenapa? Berdasarkan pengalaman, unit full-spec ni lagi senang nak jual balik kerana ia mempunyai kelengkapan aksesori yang lengkap.

Kalau beli base-model, sport rim dan pemain audio mungkin boleh dipasang sendiri di kedai aksesori tapi bagaimana dengan peralatan keselamatan seperti beg udara, beg udara sisi, EBS, EBD? Sanggup ke berhabis ribuan RM untuk pasang sendiri?

Adakah terdapat perbezaan mekanikal yang besar antara model baru dan model sebelumnya?

Memang sesetengah kereta mengalami perubahan yang besar tetapi selalunya perubahan sangat kecil. Baik dari sudut luaran mahupun dalaman. Jika diperhatikan biasanya prestasi dan ekonomi cuma mengalami perbezaan yang cukup kecil. Untuk kegunaan seharian, jumlah itu sebenarnya tidak memberikan apa-apa kesan yang besar kepada poket anda.

Apakah warna yang menguntungkan bila dijual kembali?

Kecuali jika anda memang nak beli Ferrari, warna-warna yang paling popular adalah putih, hitam, perak diikuti dengan warna-warna lain. Ia merupakan pilihan warna yang paling digemari dan tidak terlalu menyerlah. Ia memang boleh dikatakan logik kerana golongan yang suka membeli kereta terpakai macam Pok Ya dan Pak Amid memang jenis low profil dan tidak suka menonjol sangat.

Mana nak dapat kereta baru tapi stok lama ni?

Pada masa sekarang pilihan yang terbaik ialah laman jual beli atas talian. Ini kerana boleh dikatakan semua jurujual kereta akan mengiklankan produk mereka di sana. Ini bukan zaman main tunggu pelanggan datang ke ruang pameran macam dulu. Ada juga unit yang dihantar ke kedai-kedai kereta terpakai. Kalau ada kawan yang kerja jurujual kereta itu memang satu bonus untuk anda.

Adakah diskaun berbeza mengikut pangkat staf jualan?

Sudah tentu, jurujual ada jumlah komisennya, begitu juga dengan penyelia jualan dan pengurus jualan. Mengikut pengalaman, jika anda mengenali staf jualan yang lebih senior, tawaran yang diberikan semestinya lebih menarik. Kalau Abang Japar memang dia pergi jumpa dengan bos terus. Senang nak kawtim katanya.

Adakah jurujual akan memilih ‘bulu’ sewaktu melayan pelanggan?

Bergantung. Ada yang jujur dan memang ada yang pilih bulu. Jurujual yang bijak dapat menilai potensi bakal pelanggan walaupun jika pelanggan tersebut datang dengan berkaki ayam. Tapi berdasarkan pengalaman kami juga memang ramai jurujual yang cuma melayan mereka yang datang dengan berpakaian pejabat dan bertali leher. Itu kami tak dapat tolong la. Cuma pandai-pandai la main ayat kalau nak jumpa jurujual kereta. Kalau tak pandai main ayat bawa je ayah, kawan, abang ataupun sesiapa sahaja yang boleh menjadi jurucakap anda.

Satu je pesanan kami kalau bab mencari kereta terpakai ni. Walaupun anda dah berkenan dengan sesebuah kereta tu tetapi harganya tidak berpatutan, terlalu mahal ataupun jurujual langsung tidak mahu berkompromi, batalkan terus urusniaga kerana banyak lagi kereta seperti yang anda inginkan di pasaran. Hanya masa sahaja bakal menentukan cepat atau lambat ia muncul.     

Tags
Google ads
Back to top button