
CHERY TIGGO TJ-1 BAKAL DEBUT DI PASARAN CHINA PADA JULAI. REKAAN BERKOTAK, 1.5L TURBO PHEV
Sebuah SUV lasak untuk pasaran China, Chery Tiggo TJ-1 dijangka membuat penampilan pertama kepada umum pada Shanghai Auto Show 2023 April depan. Ia kemudian bakal dilancarkan secara rasmi di China pada Julai.
Dari luaran, Chery Tiggo TJ-1 baharu kelihatan agak berkotak dengan padanan bampar hitam bersaiz besar, cangkuk tunda, rim aloi berwarna hitam yang sesuai untuk laluan off-road, selain logo Chery dalam font besar pada gril.

Profil sisi menunjukkan rekaan bumbung terapung dengan tiang diwarnakan hitam. Tiang C-D lebih lebar dengan panel warna badan yang mempunyai perkataan TIGGO tertulis padanya. Selain itu terdapat cermin sisi, pemegang pintu pop-out, spoiler belakang dan rel bumbung.
Bahagian belakang pula terdapat gugusan yang bersambung, spoiler dengan lampu brek binaan dalam dan ekzos berkembar berbentuk segi empat sama berwarna krom.

Meskipun Chery masih belum mendedahkan sebarang imej di ruang kabinnya, tetapi hasil intipan mendapati ia akan disertakan dengan panel instrumen digital dan skrin sentuh besar di bahagian tengah. Mungkin ia adalah skrin sentuh paling besar yang pernah ada dalam kenderaan Chery.
SUV itu didatangkan dengan tempat duduk jenis kulit dan trim papan pemuka berwarna putih. Melalui imej yang tersedia, anda boleh membayangkan bahawa ia sesuai untuk golongan muda yang tinggal di bandar.

Dari segi kuasa, ia menggunakan enjin PHEV 1.5 turbo yang dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan. Menurut info dalaman, versi asas ditawarkan pacuan roda hadapan manakala versi teratas akan ditawarkan trenkuasa pacuan empat roda.
Untuk harga, Chery masih belum mengeluarkan apa-apa kenyataan. Mungkin kita perlu menunggu sehingga April.
- BACA: CHERY TIGGO 9 DIPERKENALKAN DI CHINA. 7 TEMPAT DUDUK, 261HP, BERMULA RM102K
- BACA: CHERY SAH LANCAR OMODA 5 DAN TIGGO 8 PRO DI MALAYSIA 1H 2023. CKD, BAKAL ADA 30 PENGEDAR
- BACA: CHERY DULU BUKANLAH CHERY YANG SEKARANG. PREBIU 5 MODEL BAKAL MASUK MALAYSIA
- BACA: EKSPORT CHERY NAIK 50.3% PADA JUN 2022. REKOD BAHARU DALAM SEJARAH 21 TAHUN DI PASARAN GLOBAL







