Modifikasi

FORD LYNX RS – KERETA SPORTS SALOON YANG DILUPAKAN

Pada awal abad ke-21, pasaran kereta saloon bukan nasional di Malaysia dikuasai oleh dua jenama Ini – Honda Civic ES dan Toyota Corolla Altis.

Ford-Lynx-RS-mekanika (2)

Kedua-duanya menjadi model saloon bukan nasional yang paling laris. Terutama Corolla Altis yang berjaya mengatasi model Civic dari segi jualannya.

Model-model itu didatangkan dengan dua pilihan enjin. Honda Civic dilengkapi enjin 1.7 dan 2.0 liter. Sementara Corolla Altis dijual dengan versi enjin 1.6 dan 1.8 liter. Tidak dapat dinafikan, kedua-dua model ini, terutamanya model Civic 2.0 dan Altis 1.8 ialah kereta saloon yang sangat baik. Ia masih boleh dijual pada harga yang tinggi.

Tetapi, sebenarnya terdapat satu lagi alternatif yang bagi kami jauh lagi menarik berbanding kedua-dua model berkenaan.

BACA-FORD RANGER EDISI KHAS ROSSI VR46

BACA-FORD ECOBOOST 1.0L ENJIN TERBAIK

Pada tahun 2003, Ford telah melancarkan model Ford Lynx RS, varian tambahan kepada model Ford Lynx yang telah dijual sejak tahun 2000. Apa yang mengejutkan, Ford Lynx RS dikuasakan oleh enjin 2,000cc.

Malah, spesifikasinya juga sangat high end. Sehinggakan kami hairan kenapa kereta itu tidak boleh dijual dalam jumlah yang banyak di Malaysia.

Model itu menggunakan kerangka Lynx sedan sebagai asasnya. Tetapi enjin 1,600cc yang digunakan oleh model Lynx ‘biasa’ telah diganti dengan enjin 2,000cc DOHC 16 injap.

Ford-Lynx-RS-mekanika (3)

Enjin serba moden tersebut didatangkan dengan teknologi Variable Inertia Charging System (VICS) yang memastikannya lancar pada semua keadaan rpm. Ia mampu menghasilkan kuasa 142bhp @ 6000rpm. Manakala daya kilas maksimum enjin ialah 192Nm @ 4500rpm. Kuasa itu kemudian disalurkan oleh kotak gear automatik empat kelajuan.

Dengan enjin baru itu, Lynx RS mampu memecut dari 0 – 100km/j dalam masa hanya 9.5 saat dan mencapai kelajuan maksima 210km/j. Satu angka yang cukup membanggakan dalam kategorinya.

Model Lynx batch pertama diimport secara terus dari Filipina. Sementara batch seterusnya dipasang di Malaysia. Model Lynx itu dilengkapi aksesori yang cukup banyak.

Dari segi keselamatan, ia dipasang dengan beg udara untuk pemandu dan penumpang hadapan. Di samping sistem brek cakera ABS dengan EBD (Electronic Brake Distribution) dan BA (Brake Assist).

Ruang dalamannya juga sangat unik dengan kemasan tempat duduk fabrik merah dan hitam yang cukup sporty. Apa yang  paling gempak, stereng asalnya ialah daripada rekaan Nardi.

Mungkin aksesori yang paling win ialah semua model RS didatangkan dengan cermin suria elektrik dengan fungsi tilt dan slide – satu aksesori yang sangat jarang ditemui untuk kereta pemasangan tempatan.

Ford-Lynx-RS-mekanika (1)

Tempat duduk belakang RS boleh dilipat dalam nisbah 60:40. Namun, apa yang lebih unik ialah tempat duduk penumpang depan boleh dilipat sepenuhnya untuk memuatkan kargo yang panjang. Jadi kalau anda membeli-belah ke Nilai 3, kereta ini boleh membawa pulang karpet yang panjang tanpa masalah.

Dari segi rupa luaran, model RS dilengkapi bodykit lengkap termasuk sebuah spoiler belakang. Rim asal berdiameter 16 inci dan ia menggunakan 5 lug nut. Satu lagi kelebihan Lynx di mana pesaing terdekatnya masih menggunakan rim 4 lug nut.

Model RS hanya didatangkan dengan tiga pilihan warna iaitu hitam, merah dan putih. Putih ialah warna yang paling rare. Memandangkan ia cuma ditawarkan pada 90 kereta terakhir Lynx RS sebelum penjualannya ditamatkan pada tahun 2005, hanya selepas 2 tahun ia dilancarkan.

Kalau anda berminat nak membeli kereta ini, sekarang ialah masa yang paling sesuai. Kenapa?

Pesaing popularnya iaitu Civic dan Corolla dijual pada harga dalam lingkungan RM40,000. Tetapi Lynx RS boleh dibeli pada harga bawah RM20,000! Percaya atau tidak, ketika kereta ini dijual dahulu, harganya sekitar RM115,000.

Dengan spesifikasi bagus, enjin berkuasa tinggi dan harga pasaran terpakai yang cukup murah, Ford Lynx RS ialah kereta sports saloon yang seolah-olah telah dilupakan.

Sekarang anda dah tau yang kereta ini memang best, jadi pergilah cari sebijik beli!

Google ads
Back to top button