
FORD MUSTANG S650 BAKAL DAPAT ENJIN V8 6.8 LITER?
Menurut laporan media di Amerika, Ford Mustang mungkin akan dibekalkan dengan enjin V8 berkapasiti 6.8 liter.
Pada September lalu, kesatuan pekerja Kanada, Unifor telah berunding dengan Ford mengenai satu perjanjian. Dalam sidang media selepas itu, Presiden Unifor, Jerry Dias ada menyebut tentang enjin V8 6.8 liter yang dihasilkan di kilang Windsor.
Unifor kemudian mengesahkan bahawa kilang Windsor akan menghasilkan enjin baharu tersebut tanpa menjelaskan kapasiti sebenarnya.
Apabila sidang media itu diteliti semula, Dias sebenarnya ada menyatakan enjin berkenaan akan digunakan untuk varian Mustang dan trak pikap F-150. Ford pula tidak mengiya atau menafikan kenyataan tersebut. “Kami tidak mahu komen atas sebarang spekulasi,” kata Ford.
Sudah tentu, maklumat yang keluar dari mulut Presiden Unifor boleh dilihat sebagai satu spekulasi. Namun, sikap Ford yang mengambil pendekatan mengunci mulut membuatkan ramai pihak beranggapan enjin itu tidak mustahil dipasang pada Mustang.
Harus tahu juga bahawa ini bukanlah perjanjian kesatuan pekerja pertama yang mendedahkan maklumat penting. Sebagai contoh, perjanjian buruh UAW pernah mengesahkan penamatan produksi Mustang Bullitt bermula tahun 2021.
Enjin V8 6.8 liter itu didakwa akan digunakan pada varian Mustang S650 baharu dan dijangka berada di pasaran menjelang tahun 2022.