
FROZEN – BUKAN BEKU JIWA
Judul: Frozen
Genre: Animasi
Pengarah: Chris Buck, Jennifer Lee
Pelakon (suara): Kristen Bell, Josh Gad, Idina Menzel, Jonathan Groff dan Santana Fontana
Bintang: ****
DISNEY kembali lagi dengan naskhah animasi terbaharunya, Frozen. Ringkas judulnya. Jika diterjemahkan judulnya itu, ia bermaksud beku yang cukup sinonim dengan suhu yang tersangat sejuk atau kedinginan melampau.
Namun ironinya, apa yang cuba dipaparkan oleh naskhah arahan bersama Chris Buck dan Jennifer Lee ini ternyata ‘panas’ atau dalam perkataan lain, hebat. Jika karya animasi sebelum ini, Free Birds muncul tanpa jiwa, Frozen pula hadir dengan jiwa yang sarat dan emosi dalaman yang meruntun kalbu. Ia terbukti sebuah karya yang bukan beku jiwa.
Frozen adalah sebuah karya animasi yang boleh diletakkan setara dengan naskhah animasi bertaraf Oscar seperti Toy Story 3, Aladdin, Finding Nemo, Ratatouille, Shrek dan seumpamanya.
Ia memfokus tentang seorang puteri yatim piatu, Elsa (lakonan suara Idina Menzel) dan adik perempuannya, Anna (Kristen Bell) yang hidup di sebuah bandar kecil di Norway dikenali sebagai Arendell.
Elsa mempunyai kuasa sakti yang mampu menukarkan setiap bilik menjadi salji dan ais. Bimbang kuasanya itu akan menimbulkan kemusnahan kepada dunia, Elsa mengurung dirinya sendiri dalam sebuah istana menyebabkan Anna membesar terasing daripada kakak kandungnya itu.
Namun malangnya, Elsa gagal mengawal kuasanya itu lalu menyebabkan seluruh negara bersama rakyat jelatanya bertukar menjadi ais yang beku. Adakah Anna turut beku?
Plot yang tidak klise seumpama kisah seorang puteri cantik yang disumpah dan kemudian diselamat putera raja kacak menjadikan Frozen sebuah karya yang segar bugar. Anda juga pasti teruja untuk dinikmati visualnya.
Disebabkan ia bukan sebuah karya yang beku jiwa, Frozen nyata sukses menangkap jiwa sehingga jauh tengggelam ke lubuknya. Tidak syak lagi, ia adalah impak daripada ketulusan dan betapa murninya jalinan kasih sayang di antara dua beradik kandung, Puteri Elsa dan Puteri Anna yang bagaimanapun terhalang dek kuasa sakti Elsa.
Bayangkan hidup di sebuah negara bercuaca sangat sejuk tetapi dengan semangat juang yang membara dan marak menyala api kepanasannya – itulah perasaan yang dialami tatkala menikmati paparan kandungan Frozen. – YUSMAN AWANG












