Buletin

HAMILTON KEKAL BERSAMA MERCEDES SEHINGGA 2023

Juara dunia Formula Satu (F1), Lewis Hamilton melanjutkan kontraknya bersama Mercedes sehingga 2023.

Hamilton, 36, sudah memenangi enam daripada tujuh kejuaraan dunia bersama Mercedes sejak menyertai pasukan itu pada 2013.

“Sukar untuk mempercayai sudah hampir sembilan tahun bekerjasama dengan pasukan hebat ini dan saya teruja untuk meneruskan kerjasama ini untuk tempoh dua tahun lagi

“Kami sudah mencapai banyak kejayaan bersama tetapi masih banyak lagi yang perlu dicapai di dalam dan di luar litar.

“Saya sangat berbangga dan bersyukur mengenai sokongan Mercedes terhadap saya dalam usaha untuk meningkatkan kepelbagaian dan persamaan di dalam sukan,” kata Hamilton dalam satu kenyataan.

Hamilton hanya kurang satu kejuaraan dunia untuk mengatasi rekod yang dikongsi bersama Michael Schumacher namun meraih lebih banyak kemenangan berbanding ikon Ferrari itu.

Dia sudah memenangi tiga daripada lapan pusingan perlumbaan setakat ini namun ketinggalan 18 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Max Verstappen.

Pada sesi latihan bebas semalam, Hamilton mengatasi pemandu Red Bull itu menjelang perlumbaan Grand Prix Austria minggu ini.

“Kejayaannya dalam sukan ini membuktikan segala-galanya. Dengan pengalamannya, dia berada pada kemuncak prestasi ketika ini,” kata prinsipal pasukan Mercedes, Toto Wolff. –carscoops/HM

Google ads
Back to top button