Motosikal

HONDA LANCAR JENTERA ADVENTURE KECIL CB200X DI INDIA

Honda sudah lama memberi bayangkan bakal memperkenalkan model adventure dengan enjin berkapasiti kecil untuk pasaran Asia. 

Peningkatan minat pengguna terhadap jentera sebegitu membuatkan banyak pengeluar motosikal, terutama dari China memperkenalkan model masing-masing. 

Honda nampaknya tidak mahu ketinggalan apabila memperkenalkan CB200X baharu ke pasaran India. Dibina di atas platform Honda Hornet, motosikal adventure kecil itu dilihat sebagai model entry level kepada peminat ADV sebelum mereka beralih kepada jentera berenjin lebih besar. 

Mempunyai gayaan dan ciri premium seperti model CB500X, ia sememangnya cukup berbaloi dimiliki. Honda Motorcycle and Scooter India (HMSI) menawarkan CB200X pada harga bermula AS$1,940 (RM8,220) sahaja. Sekali gus membuatkannya cukup menarik terutama dalam kalangan pembeli muda. 

“CB200X memberikan pengalaman terbaik kepada penunggang. Sama ada untuk ditunggang setiap hari di bandar atau menikmati percutian pendek pada hujung minggu,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif HMSI, Atsushi Ogata. 

CB200X menggunakan enjin 184cc yang sama seperti Hornet. Enjin dengan sistem penyejukan udara dan dilengkapi teknologi pancitan bahan api PGM-FI itu mampu menjana kuasa sekitar 17hp. Ia turut dipasang dengan fork jenis inverted dan bukannya teleskopik seperti yang ada pada CB500X. 

Jentera itu hadir dengan lampu utama LED sebagai ciri standard. Cermin utama, pelindung tangan, belly pan dan kluster instrumen digital penuh meningkatkan lagi gayaan adventure. CB200X didatangkan dalam tiga pilihan warna iaitu hitam, perak metalik dan merah. 

Google ads
Back to top button