Artikel Pilihan

HYUNDAI KONA EDISI IRON MAN

Memandangkan sekarang ini tengah musim Avengers : Endgame, maka ada baiknya juga Brader Karrager kongsikan sebuah cerita perihal kereta dan filem pecah panggung ini.

Tidak dapat dinafikan, kerjasama sebegini menguntungkan kedua belah pihak. Baik kepada pengeluar kereta mahupun penerbit filem sendiri. Barulah kapitalis, kan?

Dalam rangkaian Marvel Studio terutamanya filem Ant and The Wasp, kita pasti sedar akan kelibat sebuah kereta sport berwarna ungu yang boleh berubah kepada saiz Hotwheels. Benar, ianya adalah Hyundai Veloster.

Dan kali ini, Hyundai sekali lagi bekerjasama dengan Marvel Studio untuk memperkenalkan sebuah lagi model istimewa kepada khalayak, Hyundai Kona Iron Man Edition.

Asasnya, luaran Hyundai Kona ini masih lagi sama. Tiada replika helmet Iron Man pada kepala hud. Jangan buat pasal. Tapi beberapa kemasan yang menyamai ciri – ciri Iron Man telah dikenakan kepada SUV terbaharu daripada Hyundai ini.

Hyundai Kona ini menggunakan tema dwi warna pada badannya. Warna Matte Gray dikontraskan dengan warna Merah Iron Man pada beberapa bahagian. Terutamanya pada bahagian bumbung. Juga terdapat potongan V pada atas hud yang turut dikenakan dengan kemasan warna Merah Iron Man yang turut tertera perkataan Marvel.

Rim 18 yang dikenakan turut mempunyai logo kepada Iron Man. Kemasan yang agak menarik sebenarnya. Peminat Tony Stark pasti menggemarinya.

Bahagian dalamnya turut mendapat perincian yang sewajar untuk menjadikan ianya benar – benar sebuah model edisi khas. Tempat duduknya turut mempunyai sulaman dengan logo helmet serta perkataan Stark.  

Meter cluster SUV ini juga turut menampilkan ciri – ciri seperti yang sepatutnya ada pada sebuah model keluaran Stark Industries lagaknya. Barulah canggih orang Kokdiang kata. Lengkap dengan logo Iron Man lagi

Manakala untuk spesifikasi enjin, edisi ini menggunakan 1.6 turbo yang mempunyai kuasa sekitar 175 HP yang dipadankan dengan kotak gear dual-clutch tujuh kelajuan.

Walaupun dilengkapi dengan enjin turbo, tapi jangan pula ada yang berangan kereta ini mampu terbang tinggi serupa Iron Man pula kan.

Difahamkan bahawa 300 unit akan juga dibawa masuk ke UK model edisi istimewa ini. Buat penggemar filem, ianya pasti akan diburu untuk disimpan sebagai koleksi. Apatah lagi ianya adalah model istimewa yang legit. Simpan dulu, kemudian beberapa tahun boleh jual semula di Mudah edisi UK.

Harga yang ditawarkan barangkali sedikit mahal berbanding model Hyundai Kona yang biasa. Peminat yang berada di USA boleh mendapatkannya dengan harga USD30,550 (RM126,736). Mahal lebih USD10,000 berbanding model asas Hyundai Kona.

Hmmm mungkin Perodua juga patut menjual Aruz Edisi Kluang Man. Amacam?

BACA : DEBUT DUIA SUV HYUNDAI KONA

BACA : 10 KENDERAAN MENARIK DALAM AVENGERS ; ENDGAME

Google ads
Back to top button