Motosikal

KTM 200 DUKE 2018 – RM11,888 SEUNIT, MAKIN MERIAH SEGMEN MOTOSIKAL BAWAH 250cc

Senyap-senyap sahaja, KTM Malaysia telah  melancarkan KTM 200 DUKE ke pasaran tempatan semasa acara KTM Malaysia Orange Carnival yang berlangsung Sabtu lepas.

Pengenalan itu dijangka merevolusikan pasaran motosikal bawah 200cc tempatan. Mula dilancarkan pada tahun 2013, KTM 200 DUKE nyata mendapat perhatian daripada pengguna motosikal di negara ini.

Sejak itu beribu-ribu unit KTM 200 DUKE berjaya dijual. Ia cukup digemari oleh penunggang yang inginkan keseronokan dan mahu lebih menonjol berbanding yang lain.

Jentera tersebut digerakkan oleh enjin empat lejang selinder tunggal dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 199.5cc. Mampu menjana kuasa sehingga 26hp dan tork maksimum 19.5Nm pada 8,000rpm, enjin itu dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Seperti biasa, KTM 200 DUKE dibina di atas kerangka Trellis yang ringan dan kukuh. Bagi menawarkan pengendalian mantap, roda hadapan menggunakan suspensi WP USD 43mm dan WP monoshock di belakang.

Tugas memberhentikan motosikal ini diserahkan kepada brek cakera bersaiz 300mm dengan angkup empat omboh di hadapan dan brek cakera 230mm di belakang. Saiz kedua-dua rimnya ialah 17 inci, manakala kapasiti tangki mencecah 11 liter.

Semua maklumat tunggangan seperti takat bahan api,jarak tunggangan dan sebagainya dipaparkan ke skrin LCD multi-fungsi.

KTM 200 DUKE ditawarkan pada harga RM11,888 seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button