Motosikal

MANKAME EP-1 – MOTOSIKAL ELEKTRIK DARI INDIA YANG MAMPU BERGERAK SEJAUH 500KM SEKALI CAJ

Dilema utama pengeluar dan bakal pembeli jentera elektrik adalah kebimbangan tentang jarak yang mampu dilaluinya.

Jika menyentuh mengenai infrastruktur pula, kenderaan elektrik mungkin lebih sesuai untuk mereka yang tinggal di bandar dan bukannya di kawasan pedalaman.

Biarpun begitu, inovasi kenderaan elektrik tidak pernah terhenti. Semakin banyak firma yang bukan sekadar menghasilkan kereta elektik, malah motosikal elektrik juga tidak terkecuali.

Buat masa sekarang, purata jarak yang mampu dicatat oleh motosikal elektrik adalah sekitar 300km. Tetapi, sebuah firma dari India yang dikenali sebagai Mankame mendakwa jentera elektrik ciptaan mereka boleh bergerak sejauh 500km dengan sekali caj.

Mankame EP-1 menggunakan pek bateri berkepadatan tinggi dengan sistem penyejukan cecair berkuasa 18.4kWh. Digabungkan dengan teknologi brek janaan semula, motosikal itu nyata memberi harapan baru kepada pengguna.

Roda belakang Mankame EP-1 dipacu oleh tali sawat yang diperkukuhkan oleh Kevlar. Ia kemudian disambungkan dengan motor berkuasa 40kW yang mampu menjana tork 180Nm pada shaft dan 532Nm pada roda.

Menerusi teknologi ini, ia menawarkan operasi yang senyap dan tidak memerlukan sebarang minyak pelincir.

Walaupun kedengaran agak meyakinkan, Mankame EP-1 masih belum wujud secara fizikalnya. Firma itu baru merancang untuk menjalankan satu crowdfunding Indiegogo pada 1 Julai depan.

Mankame EP-1 dijangka ditawarkan dalam tiga versi yang dibezakan menerusi kuasa bateri, jarak dan kelajuannya. Varian teratas yang menjanjikan pecutan mencecah 251km/j bakal dijual pada harga AS$13,000 (RM51,700).

Varian pertengahan berharga AS$10,000 (RM39,800) mampu memecut pada kelajuan 180km/j. Sementara varian paling murah ialah AS$8,000 (RM31,800) yang menawarkan pecutan 120km/j sahaja. 

Google ads
Back to top button