Modifikasi

MITSUBISHI CELESTE – MAHAL BUKAN MAIN!

Ketika melawat Johor baru-baru ini, saya terjumpa Mitsubishi Celeste buat pertama kali. Kereta ini bukan Hakosuka atau 2000GT yang limited nak mampos, tapi sebuah model coupe biasa yang dulunya diimport masuk sebagai kereta penumpang pilihan dua pintu di Malaysia.

Mitsubishi-Celeste-1971-mekanika (2)

Dikeluarkan pada tahun 1971, model pasca perang ini dikatakan antara platform awal Mitsubishi untuk pasaran eksport luar Jepun.

Kereta ini tak banyak yang bergerak atas jalan. Sama ada kita memang tak perasan kewujudannya ataupun ia tak pernah berada dalam senarai restorasi semula oleh peminat kereta tempatan.

Mitsubishi-Celeste-1971-mekanika (7)

Saya syak masa baru dulu, kereta ini tak selaris B110 atau KE20 yang menjadi pesaingnya ketika itu. Tak macam Toyota dan Nissan (Datsun) dengan rangkaian model yang banyak, Mitsubishi cuma pemain kecil saja. Mitsubishi bermula dengan model Lancer A70, casis yang sama berkongsi dengan Celeste.

Model sulung Lancer dengan facelift plat nama pertamanya ini dikeluarkan sejak 1970. Kita boleh nampak reka bentuk yang dominan era tersebut. Sebab apabila sport, ia dikaitkan dengan dua pintu. Colt atau Lancer Celeste ini menggunakan konsep hatchback coupe. Macam sama sahaja dengan generasi KE dan tak lari jauh daripada bentuk GTO misalnya.

Mitsubishi-Celeste-1971-mekanika (9)

Memasuki tahun 2016, kereta-kereta begini bernilai tinggi dari segi estetiknya. Sebab anda memang tak boleh jumpa dah konsep begini pada kereta moden. Kalau dibuat pun, pasarannya sangat kecik dan harganya memang tak masuk akal.

Cuba tengok Kia Forte Coupe berapa harga dan bandingkan dengan model sedannya. Dua kemungkinan yang pasti ialah kereta ini tak lagi dianggap sebagai alat pengangkutan. Dah jadi macam lambang status, sebab tu mahal kemain.

Mitsubishi-Celeste-1971-mekanika (4)

Celeste biru ini dibuat pada tahun 1971 dan hanya masuk ke Malaysia pada tahun 1976. Menariknya juga, enjin asal daripada model siri 4G32 masih ada! Enjin 1.4 liter itu digerakkan oleh empat omboh, OHV dan suapan karburetor.

Kalau ikut zamannya, memang itulah teknologi yang ada. Enjin ini digunakan oleh  Mitsubishi lebih sedekad yang berakhir dengan sistem pancitan bahan api dan pengecas turbo.

Mitsubishi-Celeste-1971-mekanika (11)

Berdasarkan kepada pengalaman melihat scene modifikasi kereta tempatan, kita dapat lihat bahawa trend mengekalkan keaslian lebih dominan. Sama seperti restorasi lampu belakang Narong RXZ kalau jenis NOS boleh capai RM500 dalam kotak. Lampu belakang RXZ RM500? Biar betik? Itulah korang memang ketinggalan, ingat lampu belakang 510 je mahal?

Pemilik kereta ini sangat bernasib baik sebab keretanya dapat dalam keadaan terjaga. Enjin asal nampaknya masih cemerlang. Walaupun tak selaju Myvi, tapi cukuplah membuatkan orang menoleh bila 4,5 biji full restored geng JB masuk bandar.

Mitsubishi-Celeste-1971-mekanika (3)

Proses paling lama yang dialami oleh Celeste ialah mengekalkan semula bentuk asalnya. Sewaktu zaman kegemilangannya, ia banyak terlibat dalam sukan bermotor seperti SCCA (Sport Car Club of America), drag dan rali.

Tema yang dikekalkan ialah penggunaan warna biru terang dan jalur badan dengan pelekat perak yang tak berapa nampak sebenarnya. Tetapi cukup untuk menjelaskan imejnya. Memang inilah stail olskool.

Mitsubishi-Celeste-1971-mekanika (6)

Fender PU ditambah pada arch roda untuk menerima set rim Atara Racing pisang 15X9 di segenap sudut. Tayar pilihan, tayar belakang Yokohama bersaiz 225\50\15 dan depan Duro bersaiz 195\55\15. Cukup kembang untuk memberi ilusi bahawa ia dipasang dengan rim jantan-betina seperti yang tipikal pada model Watanabe Type-R. Kalau beli pisang ori boleh kena kejutan jantung baq ang.

Tahu tak apa benda yang sama tentang kereta zaman P. Ramlee ni? Bau dalamnya. Kalau pejam mata, buka pintu dan masuk ke dalam kabin, kita dapat menghidu aroma klasik yang terhasil daripada vinyl berteknologi 1970-an itu.

Mitsubishi-Celeste-1971-mekanika (10)

Waktu tu, semua alat ganti ini dibuat berdasarkan teknologi semasa yang tidak sama dengan teknologi plastik dan vinyl hari ini.

Google ads
Back to top button