Modifikasi

MITSUBISHI LANCER EVOLUTION VII

Masih ingat lagi semasa Mitsubishi Evo VII  dilancarkan ke pasaran dunia, saya baru sahaja dapat kerja di sebuah majalah. 

mitsubishi-evo-vii-mekanika (8)

Ketika itu, Evo VII ialah berita paling besar di Tokyo Motor Show yang menandakan Mitsubishi melancarkan ‘perang’ kepada Subara Impreza Version VII yang dilancarkan lebih awal.

Evo VII unik kerana ia merupakan model pertama Evo yang dihasilkan secara produksi penuh. Bukan lagi keluaran khas homologation untuk melayakkan diri menyertai kejohanan rali dunia.

mitsubishi-evo-vii-mekanika (2)

Mungkin sebab itu Evo ini lebih mirip kereta saloon keluarga, berbanding model Evo sebelumya yang nampak lagi ganas. Jadi, kalau kereta ini tak banyak diubah suai pun, ia sudah cukup menggerunkan orang lain sebab reputasi Evo ini sudah jadi lagenda. Sebut nama dia saja semua orang tabik spring.

Macam Evo ni, sebenarnya tak la banyak sangat ubah suai yang dibuat. Tetapi kalau dah nama Evo, model original pula, susah kami nak tolak.

mitsubishi-evo-vii-mekanika (4)

Percaya atau tak, pemilik Evo VII ini baru berumur 24 tahun. Maknanya masa kereta ini baru dilancarkan, dia baru berusia 12 tahun. Takpa la, saya tak dengki. Rezeki masing-masing.

Enjin Evo ini tak lain tak bukan ialah enjin 4G63 ‘terbalik’ yang mula digunakan untuk Evo IV. Enjin kereta ini boleh dikatakan standard dengan beberapa aksesori jenis “bolt-on” dipasang.

mitsubishi-evo-vii-mekanika (11)

Turbo TD06 asal enjin dikekalkan, tetapi sekarang diganding dengan wastegate jenis external daripada Tial bersaiz 38mm. Pakai external wastegate macam ni memang bagus kalau kita nak main boost tinggi sebab spring injap wastegate lebih keras. Ini akan mengurangkan masalah boost spike yang boleh membunuh enjin. Tekan sedap je sedar-sedar boost dah naik 2 bar, lepas tu enjin senyap seribu bahasa… Rabak poket nak baiki…

Pemilik kereta ini mengekalkan boost pada tahap 1.35 bar. Lebihan gas yang terperangkap di dalam paip intercooler dilepaskan ke udara melalui injap blow-off HKS SSQV. Keempat-empat palam pencucuh diganti dengan palam pencucuh NGK yang membakar minyak petrol yang dibekalkan oleh pam bahan api Walbro 255lph. Radiator Synergy digunakan untuk menggantikan radiator standard.

mitsubishi-evo-vii-mekanika (13)

Walaupun bunyi enjin Evo tidak semerdu bunyi enjin boxer Subaru, sekurang-kurangnya ia jauh lagi best daripada bunyi enjin Kancil standard 660cc dengan ekzos cap ayam. Evo ini menggunakan paip tengah buatan custom berdiameter 3 inci dengan peredam bunyi A’PEXi N1.

Perkara yang paling best pasal Evo ini dah tentu sistem pacuan empat rodanya.  Daripada sistem pacuan empat roda mekanikal sepenuhnya pada model Evo terawal, Evo VII menggunakan sistem pacuan empat roda yang amat canggih dan  mengikut sistem yang digunakan oleh kereta rali sebenar. Untuk Evo VII ni, klac asal dah digantikan dengan klac Ogura Carbon plat berkembar dengan flywheel yang diringankan.

mitsubishi-evo-vii-mekanika (3)

Kalau siapa yang pernah pandu Evo standard, anda mesti akan kagum dengan kesedapan penyerap hentak asal yang dibekalkan daripada kilang Mitsubishi. Selesa, tetapi masih boleh digunakan untuk layan selekoh dengan laju.

Tapi kalau dah nama kereta buatan Jepun, tak rock la kalau penyerap hentak asal tak diganti. Evo VII ini dipasang dengan set penyerap hentak boleh laras Tein Type-S yang sememangnya cukup sesuai dengannya. Keselesaan mungkin kurang sikit, tapi dari segi pengendalian, kereta Evo ni dah dibawa ke satu tahap yang lebih tinggi.

mitsubishi-evo-vii-mekanika (10)

Mengikut trend modifikasi yang terkini, Evo VII tak ketinggalan menggunakan rim jenis kangkang yang memenuhi fender kereta. Pemiliknya memilih rim Work XT7 dengan diameter 18 inci dan lebar 9.5 inci.

Offset rim ini hanyalah +20. Dicampur dengan lebarnya yang agak ekstrem, rim ini memang nampak ganas. Rim selebar ini memerlukan tayar yang lebar juga, lebih tepat lagi – 265/35

mitsubishi-evo-vii-mekanika (7)

Kelebihan Evo VII berbanding Subaru Impreza Version VII adalah pada bahagian breknya. Sebenarnya, Evo jauh lebih maju berbanding Subaru yang hanya menggunakan brek buatan Brembo pada model Version VIII. Evo VII ini mengekalkan brek Brembo asal, tetapi pelapik brek semua diganti dengan pelapik brek Dixcel yang mampu menampung suhu setinggi 600°c tanpa masalah.

Dari segi rupa, kereta Evo VII ni masih lagi nampak macam Evo VII biasa. Tapi kalau tengok dengan lebih dekat, anda akan perasan bonet depan dan belakang sudah diganti dengan aksesori karbon daripada Voltex.

mitsubishi-evo-vii-mekanika (15)

Pada bahagian dalam pula, tempat duduk Recaro asal diganti dengan tempat duduk Bride Low Max original. Papan pemukanya penuh dengan meter-meter Defi yang memberi bacaan boost, suhu ekzos, tekanan pelincir dan suhu pelincir.

Sekarang Evo dah sampai ke angka 10. Namun sampai sekarang saya tak nampak bayang pengganti kereta ini. Adakah Evo akan mati macam Nissan Silvia? Saya  harap tidak. Walaupun saya hormati usaha Mitsubishi untuk menghasilkan kereta elektrik, tapi jangan la nak bunuh jenama Evo ni…

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button