Pandu Uji

PANDU UJI PROTON X50 DI LITAR SEPANG. POWER SANGAT KE SUV NI?

Tidak dapat dinafikan bahawa SUV terbaharu Proton, X50 memang mempunyai aura yang cukup kuat. Lebih padu rasanya berbanding model pertama Geely + Proton iaitu X70.

Sejak dari tahun lepas lagi, rakyat Malaysia tidak sabar untuk menunggu Proton melancarkan SUV ini. Kini, hampir semua perincian X50 sudah didedahkan, tempahan pun telah dibuka.

Baru-baru ini, team Mekanika dijemput untuk memandu uji X50 di South Paddock, Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Walaupun sesi pandu uji tersebut ringkas sahaja, namun ia sudah cukup untuk memberikan gambaran kepada anda sama ada ia layak berada di garaj anda atau sebaliknya.

Pandu uji yang mengambil masa hampir setengah hari itu melibatkan empat sesi berbeza iaitu slalom/menukar haluan, pecutan 0-100km/j, sistem ADAS, serta Forward Collision Warning dan Auto Park Assist (APA).

Ujian 1: Slalom & menukar haluan

Saya mulakan dengan sesi ujian slalom dan menukar arah yang bertujuan menguji kualiti pengendalian SUV tersebut. Pasti ramai mengharapkan X50 mampu menawarkan ride & handling Proton yang popular itu kan?

Di ujian slalom, maklum balas stereng yang diberikan agak meyakinkan walaupun ia sedikit ringan. Memandangkan ini sebuah SUV urban, bila masa pula anda nak buat slalom? Jadi, setakat nak mencilok di bandar atau keluar masuk ruang parkir, memang tiada masalah.

Lagi satu, kita harus ingat bahawa ia sebuah SUV dengan titik graviti yang lebih tinggi. Jadi, janganlah bandingkan pula dengan dinamik pemanduan sebuah sedan atau hatchback.

Senang cakap, X50 menjanjikan pengendalian yang stabil, terutama jika anda terpaksa menukar haluan secara tiba-tiba. Jujurnya, olengan tubuh jentera itu agak ketara. Tetapi, ini disebabkan Proton menala sistem suspensi X50 supaya tidak terlalu keras dan memberi keselesaan kepada penumpang.

Lagipun, talaan suspensi yang lebih lembut berbanding Binyue untuk pasaran China dan Coolray di Filipina dilihat sesuai dengan kondisi jalan di negara ini.  

Ujian 2: Pecutan 0-100km/j   

Sedia maklum bahawa X50 dikuasakan oleh dua pilihan enjin turbo tiga selinder sebaris. Varian paling mahal dijana oleh enjin T-GDi berkuasa 177PS dan tork 255Nm.

Sementara satu lagi enjin 1.5 turbo tanpa sistem pancitan bahan api mampu menghasilkan kuasa sekitar 150PS dan tork 226Nm. Kedua-dua enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear DCT 7-kelajuan.

Sudah pasti, model yang diuji untuk drag race ialah model paling berkuasa. Proton mendakwa, X50 boleh catat 0-100km/j dalam masa 7.9 saat.

Di atas kertas, X50 memang menang dengan dua lagi lawannya iaitu Honda HR-V dan BMW X1 sDrive18i. HR-V dikuasakan oleh enjin aspirasi biasa 1.8 liter yang berupaya menghasilkan 142PS/172Nm bersama kotak gear CVT.

Sementara BMW X1 pula digerakkan oleh enjin 1.5 liter 3 selinder turbo dengan kuasa 140/PS/220Nm yang digandingkan bersama transmisi DCT. Rangkaian kuasa tersebut membolehkan X1 mencatat 0-100km/j dalam masa 9.6 saat.

Keputusannya? Bercampur-campur. Ada yang X50 menang dan ada juga HRV atau BMW yang menang. Tetapi, kebanyakannya X50 lah yang juara. Walaupun kebanyakan masa HRV akan meluncur dahulu, ia bagaimanapun pantas dikejar oleh X50 sebelum tiba di garis penamat.

Ujian itu juga membuktikan bahawa enjin itu ada mengalami sedikit turbo lag. Namun, saya tidak fikir itu masalah yang besar. Ia masih cemerlang untuk memotong kenderaan lain atau memecut di lebuh raya sebaik sahaja mempunyai momentum.

Penukaran gear juga sangat lancar, sukar sekali anda akan merasa senggukan. Pemanduan juga rasa lebih relaks.

Ujian 3: Sistem keselamatan ADAS

Bagi mereka yang menitikberatkan aspek keselamatan, kelengkapan yang ada pada X50 memang boleh membuatkan anda jatuh hati. Dikategorikan sebagai kenderaan dengan pemanduan berautonomi tahap 2, X50 ialah antara model paling canggih dalam kelasnya.

Intelligent Cruise Control dengan ciri Stop and Go akan mengawal jarak dan kelajuan X50 berdasarkan kepada kenderaan di hadapan pada jarak yang selamat sehingga 150km/j.

Dengan ciri Lane Keeping Assist, stereng juga dikendali bagi mengelakkan kenderaan keluar dari garis jalan.

Blind Spot warning pula akan memberi amaran dalam bentuk visual pada cermin sisi kiri dan kanan jika ada kenderaan atau objek di zon titik buta.

Seperti yang anda tahu, semua ciri ini hanya ada pada kenderaan yang harganya tidaklah murah.

Ujian 4: Forward Collision Warning dan Auto Park Assist (APA)

Aspek keselamatan pemandu dipertingkatkan dengan adanya ciri Forward Collision Warning. Memang masa mula-mula, kita akan berasa cuak kerana sistem yang tolong brekkan kereta.

Tetapi, pemandu perlu yakin dengan sistem berkenaan dalam menjalankan tugasnya. Ciri ini sangat berguna ketika menempuh kesesakan jalan dan kita pun tengah berangan atau asyik melihat telefon bimbit.

Secara peribadi, saya memang kagum dengan keupayaan sistem Auto Park Assist atau APA. Ia sebenarnya lebih canggih berbanding sistem hampir sama yang ada pada kenderaan jauh lebih mahal.

Untuk menggunakannya, tekan dahulu butang APA pada skrin sentuh. Sebaik sahaja ruang kosong dikenal pasti, sistem akan meminta ada untuk memilih sama ada untuk parkir selari atau mengundur.

Kemudian, anda hanya perlu menekan butang APA sepanjang proses parkir dibuat.

Apa yang lagi best, anda tidak perlu menukar gear, menekan brek atau pedal minyak.

Senang cakap, ikut sahaja arahan yang dipaparkan di skrin dan kereta akan diparkir lurus dan tepat dalam kotak seperti anda seorang pemandu mahir. Memang sesuai sangat untuk sesiapa yang fail bab parking ni.

Kesimpulan

Setakat ini, Proton sudahpun menerima lebih 20,000 tempahan untuk X50 dalam masa hanya dua minggu. Angka itu sebenarnya jauh daripada jangkaan Proton sendiri.

Bagi memenuhi permintaan tersebut, Proton menyatakan komitmen untuk memastikan produksi X50 berjalan lancar supaya pelanggan tidak perlu menunggu terlalu lama.

Berapa lama kena tunggu? Hanya Proton yang boleh jawab. Sebab itulah kena tempah cepat…

GALERI

Google ads
Back to top button