Motosikal

QUARTARARO JUMPA PAKAR PSIKOLOGI BULAN DEPAN, BANTU URUSKAN TEKANAN

Diam tak diam, hari ini merupakan perlumbaan terakhir MotoGP bagi musim 2020. Perjalanan musim ini jelas banyak terganggu akibat penularan wabak COVID-19 di seluruh dunia. 

Pastinya, ketidaktentuan itu dirasai oleh semua yang terlibat terutama para pelumba. Tekanan yang mereka hadapi bukanlah sedikit, malah sampai satu tahap boleh menjejaskan prestasi di litar. 

Antara pelumba itu ialah Fabio Quartararo dari pasukan Petronas Yamaha SRT. Bagi anda yang mengikuti perkembangan MotoGP, prestasi Quarataro sepanjang musim ini tidak konsisten.

Bermula baik pada permulaan, namun di penghujung musim dia seakan-akan hilang arah, berbeza dengan rakan sepasukannya, Franco Morbidelli. Keadaan diburukkan lagi dengan jentera yang dilihat kerap mengalami masalah. 

Dalam satu temubual dengan portal GPOne, Quarataro yang menamatkan sesi kelayakan di tempat kelima di Litar Portimao, Portugal semalam memberitahu dia mahu berehat daripada wartawan dan motosikal buat seketika.  

“Buat sementara waktu, saya perlu mengasingkan diri 100 peratus dan menghabiskan masa dengan keluarga. Sepanjang muzim sejuk ini, saya akan memperbaiki diri dengan bantuan seorang pakar psikologi.

“Saya akan berjumpa dia dengan lebih kerap dan belajar bagaimana untuk menguruskan emosi serta tekanan sewaktu minggu perlumbaan. 

Quartararo mengakui bahawa musim ini memang sangat mencabar. Namun, dia bersyukur kerana mampu memenangi sesuatu iaitu sebuah BMW M2 CS sebagai pelumba terbaik dalam sesi kelayakan. 

“Kereta itu bukan untuk saya. Saya akan berikan kepada ayah sebagai hadiah Krismas. Kami selalu berbual tentang kereta ini dan ia pasti menjadi kejutan yang menggembirakan ayah. Tetapi saya mungkin mahu meminjamnya untuk beberapa hari,” katanya. 

Google ads
Back to top button