Motosikal

QUARTARARO IALAH PENCABAR MARQUEZ YANG DITUNGGU-TUNGGU SELAMA INI

Bintang rookie pasukan Petronas Yamaha SRT dikatakan ialah pelumba yang paling berkemampuan untuk mengatasi Marc Marquez satu hari nanti. Sekurang-kurangnya itulah pendapat dan keyakinan yang disuarakan oleh Herve Poncharal berikutan pencapaian cemerlang pelumba tersebut pada musim pertama beliau dalam perlumbaan MotoGP.

“Beliau belum menunjukkan kemampuan sebenar tetapi jika ada seorang pelumba yang akan berjaya mengatasi Marc Marquez… dia adalah Fabio dan Marc juga mungkin menyedarinya,” kata Poncharal.

Atas alasan itu juga, boss Tech3 meramalkan akan berlaku saingan sengit di antara pasukan factory MotoGP untuk mendapatkan khidmat Quartararo bila kotrak beliau bersama Petronas Yamaha SRT tamat penghujung musim depan.

Tapi adakah Quartararo akan menerima nasib malang yang sama yang telah menimpa pelumba-pelumba yang pernah meninggalkan pasukan Yamaha seperti Valentino Rossi, Jorge Lorenzo dan Johann Zarco ataupun mungkin senarionya berbeza kerana Quartararo masih terlalu muda?

Hubungan antara Tech3, Poncharal dan Quartararo bukannya sesuatu yang baru kerana kesemua nama tersebut berasal dari Perancis. Tech3 diasaskan di Bormes Les Mimosas, French Riviera manakala Fabio dilahirkan di Nice. Poncharal turut membantu menaikkan karier perlumbaan Quartararo sekitar tahun 80-an dulu. Bukan Fabio Quartararo tetapi ayah beliau Etienne.

Sewaktu Poncharal berkhidmat bersama Honda Perancis sekitar tahun 80-an, Etienne sudahpun berlumba dan Honda Perancis merupakan pembekal motosikal dan alat ganti untuk beliau di peringkat kebangsaan. Jadi keduanya sudah saling mengenali selama hampir 40 tahun!

Sama seperti pelumba berbakat lain, Fabio turut mengikut jejak langkah ayahnya dan mula meminati perlumbaan motosikal. Malahan sewaktu mula menyertai Moto3 sekalipun beliau sudah diberi jolokan ‘the next Marc Marquez’.

Beliau menyertai perlumbaan GP seawal umur 15 tahun (berbeza dengan remaja Malaysia yang masih menunggang basikal lajak) dan berjaya merebut dua kali petak pertama dan dua kali podium sebelum mengalami kecederaan pada bahagian buku lali.

Kemudian prestasi beliau dilihat sedikit terumbang-ambing sebaik menyertai Moto2 pada tahun 2018. Itu perkara biasa kerana beliau masih terlalu muda dan masih kekurangan pengalaman dan panduan.

Kini beliau mempunyai pasukan yang hebat walaupun masih baru saja ditubuhkan, kru yang berpengalaman dan jentera yang sangat sesuai dengan gaya tunggangan beliau. Walaupun menggunakan jentera M1 yang sedikit rendah prestasi berbanding Maverick Vinales, Valentino Rossi dan rakan sepasukan Franco Morbidelli, Quartararo sudah pun berjaya merampas tiga kedudukan petak pertama dan tiga kali menaiki podium pada musim ini.

Kredit juga harus diberikan kepada bos Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali kerana berjaya mengesan potensi Quartararo dari awal dan membawanya masuk ke kelas premier dengan pasukan baru beliau. Tak ramai yang sanggup mempertaruhkan pelumba yang belum dikenali ke kelas premier GP motosikal dunia.

Kenapa Quartararo menjadi pilihan? Kerana beliau sentiasa laju. Baik dari ujian masa pertama sehinggalah ke hari perlumbaan sebenar. Tidak kira litar basah, kering, panas mahupun dingin, Quartararo akan sentiasa memecut laju meninggalkan pesaing. Beliau bagaikan komputer, sambung Poncharal.

Google ads
Back to top button