
ROTARY DAN SEJARAH GEMILANG MAZDA RX-7 FC3S. INI MEMANG LEJEN!
Bayangkan ketika jurutera Jerman pun dah surrender nak pakai enjin rotary pada kenderaan komersial, ada satu syarikat kecil memohon kepada profesor Felix Heinrich Wankel untuk menggunakan enjin tersebut. Enjin yang dikenali sebagai rotary Wankel itu tak pernah dilihat sebagai enjin yang layak untuk dijadikan produksi.
Namun syarikat dari timur yang kecil inilah yang telah membawa nama rotary lebih tinggi dari negara yang mempatenkannya. Mazda sehingga hari ini terus dianggap sebagai syarikat automotif yang luar biasa, tak peduli tentang pesaing mereka nak buat apa. MJurutera mereka hanya hasilkan kereta yang mereka suka.
Selepas kejayaan generasi pertama RX7 FB, Mazda kembali memperkenalkan model generasi kedua FC pada 1985. Di bawah kendalian Akio Uchiyama selaku Ketua Jurutera Projek, RX7 FC diberi nafas baru dan diinspirasikan mengikut gaya Porsche 924, bagi membolehkan ia menembusi pasaran dunia khususnya Amerika Syarikat.
Percaturan tersebut berjaya melonjakkan nama Mazda sebagai pengeluar paling berani menggunakan enjin ini untuk model produksi mereka. Hampir 270 ribu unit telah terjual, sebelum digantikan dengan model FD pada tahun 1992. Namun akibat peraturan emisi yang semakin ketat, penggunaan enjin rotary telah dihentikan sepenuhnya pada tahun 2012, dengan model RX8 sebagai versi rotary terakhir.
BACA: SELAMAT ULANGTAHUN KE 40 RX-7!
Faktor reliabiliti dan ketiadaan enjin gantian yang setara, merupakan antara punca mengapa siri rotary tidak lagi diterima ramai. Lebih-lebih lagi untuk model FC seperti ini, yang rata-ratanya sudah berusia 30 tahun. Komponen gantian lain pun makin susah nak dapat. Hanya peminat tegar sahaja yang sanggup bersusah payah, memastikan kesinambungan riwayat kereta ini di jalanan.
Kesevan antara yang masih percaya dengan kehebatan model ini. Mana tidaknya, dalam keadaan tak bergerak pun orang dah jeling, belum lagi enjinnya disetat. Tarikan utama tentulah pada bahagian luaran, yang dilengkapi kit badan lengkap rekaan RE Amemiya. Turut digunakan, beberapa komponen tambahan yang lain seperti fender dan hood kustom, spoiler GT serta kit lampu tetap projektor.
Untuk prestasi kendalian dan rupa yang seimbang, kedudukan kereta ditongkat pada set suspensi boleh laras Cusco. Tersergam di bahagian roda merupakan rim 17-inci RE Amemiya, yang digandingkan bersama tayar Pirelli P Zero bersaiz 225/45R-17. Memastikan ia mampu dijinakkan, kuasa hentian dinaik taraf menggunakan kit brek dari RX7 FD3S.
Peningkatan di bahagian enjin dibuat, selepas menggantikan enjin asal dengan enjin 13B-REW. Ia kemudian disegarkan semula menerusi pemasangan kit apex seal berprestasi dari Super Seal. Tidak ketinggalan kerja-kerja porting (half bridge) di bahagian perumah rotor, sekaligus mengoptimumkan proses pembakaran.
BACA: RED SUNS, LAGENDA ROTARY
Sistem pendesak diubah menggunakan turbo tunggal TD06H, yang tertenggek di atas manifold turbo kustom. Menyegerakan pengeluaran gas dari perumah turbin, ia dihubungkan kepada wastegate dari HKS. Boost yang terbentuk akan melalui intercooler dan paip sambungan kustom, sebelum menjengah ke mulut throttle body yang melekat pada sebuah manifold kemasukan kustom. Sebaik pendikit ditutup, lebihan boost yang tidak digunakan akan dibawa keluar menerusi injap pelepas HKS SSQV.
Sumber bahan api dibekalkan oleh pam petrol Walbro terus ke injektor 750cc. Sebuah pelaras bahanapi Sard, kemudiannya bertugas mengawal tekanan dan proses balikan petrol. Bagi menjamin proses pembakaran yang sempurna, pemetaan ECU diubah menggunakan unit piggyback HKS F-Con PFC dan GCC. Giler olskool, tuning pakai dail pulas-pulas tuh. Punyalah susah nak tuning dulu-dulu…
Kesemua komponen penting pada ruang dalaman, masih kekal di tempatnya. Bagi memberi suasana lebih moden, ia turut mengandungi sepasang tempat duduk Recaro, stereng Momo, knob gear billet B&M serta set roll cage di bahagian belakang. Untuk tujuan pemantauan, disediakan juga dua meter tambahan untuk bacaan AFR dan boost.
Atas faktor yang dinyatakan, tidak ramai yang sunggup bertahan. Namun kewujudan bengkel pakar seperti Dom Racing, banyak membantu pemilik rotary meneruskan minat mereka membela kereta sukan klasik seperti ini.
-PAK MAUN-
GALERI