Motosikal

SELEPAS KAWASAKI NINJA ZX-6R, MODENAS MILIKI KAPASITI PASANG DAN EKSPORT MODEL 1000CC

Beberapa tahun lalu, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) telah mendapat lampu hijau dari Kawasaki untuk melakukan pemasangan tempatan bagi motosikal Kawasaki bawah 650cc. 

Senario itu menyaksikan Modenas bertanggungjawab memasang model seperti Ninja 250, Z250, Ninja ZX-25R SE, Versys 650, Ninja 650 serta Z650. 

Kemudian, Modenas mendapat kebenaran dari Kawasaki untuk memasang motosikal 900cc melibatkan jentera retro, Z900RS. 

Terbaru, Modenas telah diberi tanggungjawab untuk memasang jentera, Ninja ZX-6R generasi terbaru. Menariknya, selain menggalas tugas pemasangan, jentera supersport itu turut dieksport ke China sebagai model CBU untuk dijual di negara itu. 

Setakat 28 Mei 2024, Modenas telah mengeksport 280 unit ZX-6R ke pasaran China dengan angka itu dijangka meningkat lebih 1,000 unit setahun. 

Menurut EMOS, Kawasaki Motors Ltd (KMC) telah menjalankan audit pada September 2022 yang membenarkan Modenas melakukan pemasangan motosikal Kawasaki. Audit itu secara langsung membuktikan kemampuan Modenas dalam menjalankan pemasangan tempatan motosikal Kawasaki di Gurun, Kedah. 

Setahun kemudian, EMOS berjaya mendapat kelulusan dari China Quality Certification Centre untuk mengeksport motosikal Kawasaki ke negara itu.  

Untuk rekod, Kawasaki Ninja ZX-6R itu akan turut dipasarkan di Malaysia pada awal 2025. Sumber terdekat memberitahu model itu dijangka akan dilancarkan pada Januari dengan harga dianggarkan bawah RM70 ribu. 

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan turut memaklumkan terdapat perancangan untuk turut memasang motosikal 900cc ke atas. Walaupun tidak model spesifik tidak dinyatakan namun hampir pasti merujuk kepada jentera 1000cc antaranya Ninja ZX-10R, NInja 1000SX dan Versysy 1000. 

*CEO Modenas, Roslan Roskan

Dalam pada itu, Modenas juga merancang untuk memperkembang pasaran eksport selain dari China pada masa akan datang dengan kerjasama Kawasaki.

Setakat ini, Modenas telah mengeksport Pulsar NS200, Pulsar NS160, Dominar D250, Pulsar RS200 dan Dominar D400 ke pasaran Thailand sementara model Kawasaki seperti Z250, Ninja 250, ZX-25RR, Versys-X, KX250 dan ZX-25R telah pun dieksport ke Timur Tengah.

Google ads
Back to top button