SELEPAS LAYAN VSC DAN PUSING LEBIH 10 KALI DI LITAR MIMC, BENARKAH VIOS BAHARU LEBIH BAGUS?
Sebagai mana kita sedia maklum, UMW Toyota telahpun melancarkan model facelift untuk sedan poupularnya, Vios pada awal bulan lalu.
Walaupun ini hanyalah sebuah model facelift, namun UMW Toyota ingin menyatakan kesungguhannya kepada pengguna tempatan bahawa perubahan kali ini bukan sekadar bersifat kosmetik.
Tidak hanya menukar bampar hadapan, lampu atau bahagian dalam dibalut dengan material kulit sahaja, misalnya. Sebaliknya, Vios kini didatangkan dengan enjin dan kotak gear baharu.
Wah.. betul ke? Macam bukan Toyota yang kita kenali selama ini kan? Tetapi itulah yang terpaksa dilakukan oleh UMW Toyota untuk kekal relevan dalam sedan segmen B yang sangat sengit persaingannya.
Penukaran enjin 2NR-FE itu nyata selari dengan usaha Toyota untuk menggantikan enjin siri NZ di seluruh dunia. Enjin aluminium sepenuhnya yang didatangkan dengan sistem Dual VVT-i itu berupaya menjana kuasa mencecah 107PS dan tork 140Nm.
Sebenarnya, kuasa itu lebih rendah berbanding enjin lama (109PS dan tork 141Nm). Jangan sedih, kekurangan tersebut bagaimanapun diganti dengan penjimatan bahan api sebanyak 18 peratus.
Penjimatan itu turut disumbang oleh kotak gear CVT tujuh kelajuan yang menggantikan kotak gear empat kelajuan sebelum ini. Perubahan pada pemanduan juga dapat dirasai dengan ketara.
Jarum rpm tidak perlu memanjat sehingga angka 4,000 sebelum gear dapat ditukar. Kombinasi enjin dan kotak gear baharu itu juga memberikan pengalaman pemanduan yang jauh lebih lancar dan senyap.
Bagi membuktikan dakwaan itu, UMW Toyota mambawa sekumpulan wartawan untuk menguji Vios dalam cabaran satu liter petrol di litar Melaka International Motorsports Circuit (MIMC).
Caranya begini. Setiap peserta perlu mengisi sendiri satu liter minyak ke dalam tangki sementara yang dipasang pada bahagian hadapan enjin. Sudah pasti, setiap titis minyak cukup berharga. Jadi semua orang cuba memastikan minyak tidak tumpah ketika ia diisi menggunakan corong khas.
Pihak penganjur memberi kebebasan untuk peserta mendapatkan jarak yang paling jauh mengikut kreativiti masing-masing. Jadi, ada yang memandu perlahan, tidak pasang pendingin hawa dan macam-macam lagi.
Jarang sekali menang cabaran penjimatan minyak macam ni, saya memandu Vios pada purata kelajuan 40km/j dengan putaran enjin tidak melebihi 1,000rpm. Pedal minyak mestilah ditekan selembut mungkin. Brek pula tak perlu tekan. Boleh tahan juga kejung kaki sebelum kereta berhenti sepenuhnya kerana kehabisan minyak.
Selepas membuat pusingan lebih 10 kali di litar go-kart sepanjang 1.6 kilometer itu, saya akhirnya berjaya mencatat penggunaan bahan api 24.3 kilometer bagi satu liter petrol. Dapat juga lah tempat ketiga, terus hilang lenguh tadi. Hahaha.. Catatan paling tinggi ialah 24.6 km.
Sepanjang pandu uji tersebut, saya dapati kotak gear CVT itu cukup lancar. Pemandu tidak akan berasa sebarang senggukan ketika gear ditukar. Inilah antara unique selling point (USP) yang penting untuk Vios 2016.
Memandangkan pertandingan ini dilakukan dalam persekitaran yang terkawal, sudah pasti agak mustahil untuk direalisasikan di dunia sebenar. Namun, penjimatan semestinya lebih baik jika dibandingkan dengan kombinasi enjin dan transmisi lama.
Satu lagi perubahan penting yang ada pada Vios ialah kehadiran ciri Vehicle Stability Control (VSC) dan Traction Control (TRC) pada semua varian. Pendek kata, Vios dapat menawarkan kualiti pengendalian yang lebih mantap dan meyakinkan. Terutama apabila pemandu terpaksa menukar haluan secara tiba-tiba dalam situasi kecemasan.
Berbalik kepada persoalan adakah Vios baharu ini lebih bagus? Jawapannya ya, kalau dinilai kepada pembaharuan yang diterimanya. Tetapi, Vios masih ada ruang untuk diperbaiki bagi menjadikannya lebih mantap.
Sebelum terlupa, jika anda membeli Vios sebelum 31 Disember 2016, anda layak untuk menikmati penyelenggaraan percuma selama lima tahun. Di samping jaminan kenderaan selama lima tahun yang ditawarkan sebelum ini. Memang berbaloi baq hang…