Modifikasi

SUBARU IMPREZA WRX AUTO

Di Malaysia, Subaru Impreza memang sinonim dengan kereta sedan empat pintu berkuasa tinggi dan sistem pacuan empat roda.

subaru-wrx-auto-mekanika (4)

Kereta ini hanya dipandu oleh orang muda anak orang kaya atau orang tak berapa muda yang baru mampu nak beli sebab dia bukan anak orang kaya. Satu lagi stereotype orang ialah kereta ini cuma datang dengan kotak gear manual dan semua orang yang beli Impreza ialah kaki racing.

Salah, salah dan salah!

subaru-wrx-auto-mekanika (5)

Berbeza dengan Mitsubishi Lancer Evolution, Impreza dihasilkan dengan niat untuk dijual kepada pelbagai kategori pembeli. Dari seorang kaki racing hinggalah kepada makcik dan pakcik yang bawa kereta ini ke surau.

Dalam erti kata lain, ia merupakan kereta produksi penuh dengan pelbagai variasi. Sementara Evo pula ialah kereta khas homoligasi rali. Evo VII ialah model Evo pertama yang dijual tanpa sebarang kekangan dari jumlah produksi.

subaru-wrx-auto-mekanika (9)

Jadi, jangan terkejut kalau anda nampak Impreza dengan ekzos kecil, sebab Impreza ini guna enjin 1.6 tanpa turbo. Pastu, jangan terngaga mulut kalau jumpa Impreza badan wagon dengan stroller dan bakul botol susu di bonet belakang sebab ini ialah pemandangan biasa di New Zealand dan Australia. Akhir sekali, jangan pengsan kalau tengok Impreza berenjin turbo lengkap dengan sistem AWD, tapi tak ada pedal klac sebab guna kotak gear auto!

Brader Ardi ialah pemilik Impreza WRX versi ketujuh yang agak rare di Malaysia disebabkan kotak gearnya. Kebanyakan pengimport kereta tak bawa masuk model automatik ke sini sebab mereka dah kaji pola pembeli kereta Impreza. Rata-ratanya ialah pemandu berdarah panas yang kerja dia nak pandu laju sahaja.

subaru-wrx-auto-mekanika (11)

Ardi relaks orangnya, orang berniaga la katakan. Jadi kereta pun kena la yang boleh dibawak dengan relaks. Apa guna kereta laju, gempak tapi masa jalan jam, berpeluh-peluh tekan klac racing tiga kaki dengan loceng aiskrim.

Enjin Impreza ini boleh dikatakan standard habis, kecuali sebuah injap blow-off GReddy dipasang di celah intercooler. ECU standard enjin pula dihantar untuk ditala semula bagi meningkatkan sikit prestasi enjin.

subaru-wrx-auto-mekanika (1)

Kalau dah pandu Impreza atau kereta yang sewaktu dengannya, tak tukar ekzos, memang tak merasa satu nikmat dunia sebenarnya. Bunyi enjin boxer EJ20 memang meremang bulu roma kalau dengar. Dengan syarat, ekzos mesti kena bikin.

Ardi kata ekzos keretanya standard. Tetapi dari apa saya tengok, dah pakai paip tengah besar dengan peredam bunyi jenis tube yang agak besar. Agaknya standard masa datang dengan kereta ni. Tapi bunyi dia memang hensem la… Kalah Aaron Aziz…

subaru-wrx-auto-mekanika (2)

Satu lagi perkara yang saya suka tentang Impreza ialah pengendaliannya, memang terbaik. Walaupun penyerap hentak ditala untuk prestasi, ia masih selesa. Satu lagi bukti Impreza dihasilkan untuk dipandu selalu di atas jalan raya dan lebuh raya, bukannya terlalu berorientasikan trek lumba macam Evo ataupun keluarga Type-R Honda. Nak sedap lagi, guna penyerap hentak jenis boleh laras  Tein, macam pada kereta Ardi. Boleh laras tinggi rendah, lembut keras dan sudut camber – cukup sempurna.

Untuk mengisi ruang fender Impreza ini, Ardi memilih rim Rota CE28 17 x 9 inci dengan offset +25. Tayar yang dipilih pula ialah Archilles bersaiz 235/45/17. Brek tak diusik. Memandangkan ini bukan model STi, jadi breknya guna sakera standard sahaja, bukan Brembo.

subaru-wrx-auto-mekanika (3)

Dari segi rupa, bodykit asal Version 7 dikekalkan, cuma ditokok-tambah sedikit. Antara benda yang ditambah ialah protector plastik pada bonet hadapan, aksesori asli untuk Impreza model ini. Bampar depan dipasang penutup spotlight STi asli. Cermin sisi pula ditukar dengan cermin buatan Ganador yang diperbuat daripada karbon.

Bahagian dalam memang standard habis. Cuma dihiasi dengan gajet elektronik yang wajib ada untuk kereta turbo macam meter boost NRG dan turbo timer A’PEXi. Gajet tak wajib yang ada ialah meter RSM jenama Pivot yang berjaya membuang speed cut ECU dan membenarkan Impreza ni mencapai kelajuan maksima lebih daripada 200km/j.

subaru-wrx-auto-mekanika (6)

Kalau anda perasan, stereng Momo asli Impreza ini ada benda istimewa yang Impreza lain takde. Butang steer shift untuk kotak gear, model manual mana ada kan?

Kalau anda peminat kereta, saya rasa tak perlu malu kalau guna kereta auto. Mungkin nampak tak macho, tapi kalau kena pandu setiap hari, kena pula layan jam, memang gear auto juga yang paling bagus. 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button