
HONDAGO BOLEHKAN PENGGUNA SEWA SUPER CUB HINGGA CBR1000RR-R FIREBLADE. BERMULA RM60 SAHAJA
Peminat motosikal di Jepun cukup bertuah kerana Honda dilapor akan memperkenalkan skim sewaan motosikal melibatkan beberapa buah pengedar Honda terpilih.
Apa yang menarik ialah pengguna boleh menyewa apa jua model motosikal Honda. Bermula daripada Honda Super Cub hinggalah superbike CBR1000RR-R Fireblade. Harga sewaan pastinya berbeza mengikut model yang dipilih, tetapi skim itu cukup mudah.
Program HondaGO ditawarkan untuk memberi keyakinan kepada semua, terutama penunggang baru. Budak bawah umur tidak dibenarkan menyewa motosikal. Sewaan akan merangkumi bantuan tepi jalan 24/7 dan insurans menerusi satu hotline HondaGO.

Pelanggan juga boleh menyewa kelengkapan menunggang seperti topi keledar, jaket, seluar, but dan sarung tangan dengan caj berbeza.
Sekiranya motosikal rosak atau penunggang terlibat dalam kemalangan, mereka perlu memberitahu pihak berkuasa dan menghubungi talian hotline 24 jam Honda untuk melaporkan apa yang berlaku. Jika tidak berbuat demikian, pelanggan perlu bertanggungjawab atas semua caj yang dikenakan ke atas motosikal, penunggang dan pembonceng.
Pelanggan juga perlu mengisi minyak motosikal sebelum ia dipulangkan.
Kadar sewaan agak munasabah. Jika anda ingin menyewa motosikal 50cc dalam tempoh kurang dua jam, caj hanyalah ¥1,500 (RM60). HondaGO Premium menawarkan model-model seperti Gold Wing, Africa Twin dan CBR1000RR-R Fireblade. Kadar sewanya pula bermula ¥16,000 (RM645) untuk tempoh dua jam.
Kalau hendak menyewa dalam masa lebih lama, pelan LongGOGO menawarkan sewaan lebih 55 jam. Harganya bermula ¥8,500 (RM342) untuk motosikal 50cc sehingga ¥51,000 (RM2,053) bagi motosikal premium.