Motosikal

YAMAHA YZF-R15 DAPAT WARNA BIRU DAN HITAM BAHARU. HARGA KEKAL RM11,988 SEUNIT

Hong leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini mengumumkan bahawa jentera sports popularnya, YZF-R15 kini hadir dalam dua warna baharu. 

Mula ditawarkan pada Oktober, warna baharu itu ialah biru (race blue) dan hitam. Harganya juga tidak berubah iaitu RM11,988 seunit. Tetapi, harga itu pasti berubah apabila sampai di kedai. 

R15 mula diperkenalkan ke pasaran Malaysia pada Ogos 2018. Sportbike yang tampil dengan reka bentuk garang itu pantas mendapat maklum balas positif daripada pengguna tempatan. 

Kali terakhir jentera itu menerima warna dan grafik baharu adalah pada September 2019. Pada ketika itu, HLYM menawarkan warna hitam, kuning dan biru. Sebulan kemudian, R15 edisi terhad Monster MotoGP pula ditawarkan. 

Walaupun menjadi model sportbike paling kecil, R15 sebenarnya lebih canggih berbanding R25 atau R3.

Versi V3 itu merupakan model pertama dalam keluarga kecil yang dipasang dengan suspensi teleskopik USD pada roda hadapan. Ia juga dilengkapi kepala selinder VVA yang sama seperti skuter NVX. 

R15 dikuasakan oleh enjin empat lejang SOHC yang mampu menjana kuasa maksimum 19hp dan tork 14.7Nm pada 8,500rpm. Kuasa tersebut disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear enam kelajuan. 

Pelanggan yang membeli R15 baharu akan menerima kunci cakera Yamaha bernilai RM100. 

GALERI

Google ads
Back to top button