
KTM GANTI ZARCO DENGAN MIKA KALLIO. BERMULA DI LITAR ARAGON HUJUNG MINGGU INI!
Berita panas. Kerjaya Johann Zarco dengan KTM nampaknya sudah berakhir hanya dengan 13 pusingan apabila dia akan digantikan dengan pelumba ujian KTM, Mika Kallio.
Kallio akan menggantikan pelumba dari Perancis itu bermula dengan saingan di Litar Aragon hujung minggu ini. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Zarco menarik diri daripada pasukan KTM setelah bergelut untuk menyesuaikan diri dengan jentera RC16.
KTM bersetuju untuk memenuhi permintaan Zarco walaupun kontraknya dengan pasukan factory itu masih berbaki setahun lagi.

Di Litar Misano hujung minggu lalu, Zarco mendedahkan bahawa dia tidak akan mengambil bahagian dalam ujian khas jentera baru KTM untuk musim 2020. Dia bagaimanapun tidak memberi sebarang bayangan bahawa tidak akan berlumba di Aragon.
“KTM akan meletakkan Mika Kallio bersama Pol Espargaro untuk baki kempen MotoGP 2019. Johann dan KTM bersetuju untuk menamatkan kerjasama pada penghujung tahun 2019.
“Tetapi perkembangan dan kerja-kerja yang sedang dilakukan sekarang membuatkan keutamaan kini sudah berubah. Pelumba Perancis ini akan direhatkan daripada tanggungjawab beliau di MotoGP, tetapi kontraknya masih ada dengan KTM hinggalah ke akhir musim.
“Kami perlu membuat keputusan bagi memastikan kami dapat menggunakan sumber dengan sebaik mungkin. Kami kini berada di landasan positif dengan struktur MotoGP sekarang.
“Kami yakin Mika dapat membantu, terima kasih atas pengetahuan dan latar belakangnya. Apa yang penting, kami perlu merealisasikan keputusan ujian ke dalam perlumbaan sebenar dan memulakan musim 2020 dengan posisi terbaik,” kata Pengarah KTM Motorsport KTM, Pit Beirer.
“Mika telah membuktikan keupayaannya dengan jentera RC16 dan kami gembira beliau menyertai barisan pelumba sekali lagi. Kami akan terus fokus terhadap kondigurasi baru untuk jentera #82 dan cuba mendapatkan mata dalam baki perlumbaan terakhir musim ini.

“Pada masa sama, kami ingin menzahirkan penghargaan kepada Johann atas usahanya sejak beliau menyertai projek kami pada November tahun lalu. Kami kini perlu memikirkan tentang masa depan dan mengambil langkah yang sewajarnya.
“KTM akan terus menyokong beliau sehingga kontrak tamat pada penghujung tahun 2019 dan kami doakan yang terbaik kepadanya.”
Kallio sebelum ini pernah menunggang jentera KTM dalam debut MotoGP di Litar Valencia 2016. Dia berjaya mendapat kedudukan ke-10 sebanyak dua kali semasa slot wild-card untuk pasukan KTM. Pelumba Finland itu sememangnya dilihat sebagai calon terbaik untuk bergandingan bersama Pol Espargaro.
Sementara Zarco pula dilapor ingin mendapatkan tiket wild card tahun hadapan dan membuat comeback pada tahun 2021 ketika kebanyakan pelumba MotoGP sedia dipancing. Kembali ke Yamaha merupakan peluang terbaik Zarco, tetapi masih terlalu awal untuk menekanya.