Motosikal

BMW S 1000 RR 2019 – PAKEJ M SPORT, PRO MODES, RM138,500 SEUNIT

BMW Motorrad Malaysia hari ini melancarkan tiga model baharu ke pasaran tempatan iaitu BMW S 1000 RR, BMW R 1250 R dan BMW R 1250 RS. Namun, model yang paling menarik pastinya superbike BMW S 1000 RR.

“Sehingga ke hari ini, kami telah menyerahkan lebih 800 unit motosikal BMW Motorrad di seluruh negara. Ia sekali gus mencerminkan permintaan kukuh ke atas motosikal kami di Malaysia,” kata Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl.

BMW S 1000 RR

Komponen enjin dan suspensi BMW S 1000 generasi ketiga ini telah menjalani proses pembangunan yang komprehensif untuk kekal menjadi penanda aras dalam segmen superbike.

BMW S 1000 RR dibina di atas kerangka baharu dikenali sebagai Flex Frame. Ia bukan sahaja lebih ringan, malah membolehkan reka bentuk tangki menjadi lebih tirus.

Kerangka itu juga menawarkan fleksbiliti dan cengkaman terutama ketika mengambil selekoh. Posisi tunggangan kini juga tidak lagi terlalu membongkok, sebaliknya lebih menegak dan santai.  

Lampu hadapan menampilkan teknologi LED tanpa reflektor yang menggabungkan cahaya rendah dan tinggi dalam satu reka bentuk kompak.

BMW S 1000 RR dengan pakej M Sport didatangkan dengan tempat duduk bersama sulaman M dan set rim gentian karbon M.

BMW S 1000 RR dikuasakan oleh enjin 4 silinder sebaris yang terkini. Enjin berkapasiti 999cc itu mampu menjana kuasa maksimum 207hp dan tork 113Nm. Jentera itu mampu memecut melebihi 200km/j tanpa sebarang masalah.

Biarpun begitu berkuasa, superbike itu masih dapat menawarkan penggunaan bahan api sekitar 6.4 liter bagi setiap 100km.

BMW S 1000 RR turut dilengkapi bateri ringan “M” yang tidak perlu diselenggara. Bukan itu sahaja, ia didatangkan dengan BMW ShiftCam Technology yang membekalkan variasi pemasaan injap serta lejang injap pada komponen intake.

Penggunaan kerangka, kemas kini pada enjin dan ekzos membolehkan jentera itu lebih ringan (193.5kg sahaja) berbanding model terdahulu.

Suspensi elektronik Dynamic Damping Control (DDC) generasi baru juga dibangunkan khusus untuk BMW S 1000 RR.

BMW S 1000 RR kini menawarkan empat mod tunggangan sebagai ciri standard iaitu Rain, Road, Dynamic dan Race. Lebih menarik lagi, ia ditambah dengan Pro Modes yang menawarkan tiga lagi mod tunggangan – Pro 1, Pro 2 dan Pro 3.

Mode itu membolehkan penunggang mengawal fungsi-fungsi seperti DTC, ABS Pro, DTC Wheelie, pendikit, brek enjin dan sebagainya. Sementara ciri Launch Control membolehkan penunggang memulakan perjalanan yang sempurna di litar lumba.

Panel instrumen BMW S 1000 RR terdiri daripada skrin TFT 6.5 inci yang jelas.

Ia dikawal menerusi “Multi Controller” pada panel bar hendal di sebelah kiri dan ia boleh dioperasikan dengan mudah.

Skrin “Pure Ride” memaparkan semua informasi yang diperlukan untuk kegunaan biasa di atas jalan raya. Manakala tiga skrin “Core” pula khas untuk kegunaan di litar lumba.

HP Shift Assistant Pro yang didatangkan sebagai ciri standard membolehkan penukaran gear dibuat dengan pantas.

Jika berminat, BMW S 1000 RR yang diimport sepenuhnya dari Berlin, Jerman boleh anda miliki pada harga RM138,900 seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button