Buletin

CARRO LABUR RM125.5 JUTA KE ATAS MYTUKAR – MAHU GANDAKAN TRANSAKSI KEPADA RM2 BILION

Carro, penyedia platform dagangan automotive terbesar di Asia Tenggara dilapor telah melabur sebanyak RM125.5 juta ke dalam platform bidaan kereta yang berpangkalan di Malaysia, myTukar.

Pelaburan itu bermatlamat mendigitalkan industri pengedar kereta terpakai tempatan.

Menerusi pelaburan strategik ini, teknologi Carro akan memperkasakan myTukar secara digital. Sekali gus membolehkan pengedar kenderaan terpakai tradisional di seluruh negara meningkatkan jualan kereta di antara bandar dan membantu mengembangkan perniagaan setempat.    

“Malaysia merupakan salah satu pasaran automotif yang penting dan paling pintar digital di Asia Tenggara. Jadi, ini menjadi langkah pengembangan yang sesuai buat kami selepas Indonesia dan Thailand.

“Menerusi myTukar, kami merancang untuk bekerjasama dengan beribu-ribu pengedar di seluruh negara bagi memangkin pertumbuhan pasaran kenderaan terpakai.

“Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kami merancang untuk menggandakan jumlah transaksi sedia ada kepada AS$500 juta (RM2 bilion),” kata pengasas Carro, Aaron Tan dalam satu kenyataan.

Ketika Carro dilihat cuba untuk membantu pengedar kereta tradisional mengembangkan pasaran mereka ke seluruh negara. Langkah itu sebenarnya membantu mereka menjangkau lebih ramai penjual sendiri kereta dan meningkatkan keuntungan masing-masing.

Ditubuhkan pada tahun 2015, Carro pada asalnya dimulakan di Singapura sebelum melebarkan sayap ke pasaran Indonesia dan Thailand bagi mencipta platform jualan kenderaan terbesar di rantau ini.

Tahun lalu, Carro berjaya mencatat transaksi bernilai lebih RM2 biilion di tiga pasaran tersebut.

Kemasukan Carro ke pasaran Malaysia menerusi myTukar membuktikan langkah terkini syarikat untuk terus berkembang di rantau ini. Selain ingin fokus dalam membantu pengedar kereta terpakai tradisional berhubung dengan penjual menerusi saluran e-dagang.   

“Sejak sedekad lalu, pasaran kereta terpakai di Malaysia kurang memberangsangkan berikutan pengedar mengalami jualan yang tidak banyak berubah. Untuk meningkatkan keuntungan, mereka perlu menggunakan teknologi digital dan menjangkau pelanggan yang lebih ramai.

“Pengedar kenderaan terpakai ialah tonggak kepada sektor automotif. Justeru, kami percaya platform ini mampu merapatkan jurang digital bagi menjangkau golongan penjual dan pembeli yang pintar teknologi.

“Pelaburan Carro sememangnya penting dalam mencapai misi kami ini,” kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif myTukar, Fong Hon Sum.

Ditubuhkan pada tahun 2018, myTukar ialah satu platform bidaan dalam talian di Malaysia yang dilihat bakal mengubah proses pemilikan kereta terpakai tradisional di negara ini.

Melalui saluran e-dagangnya, myTukar membolehkan kereta penjual diperiksa oleh agen servis jualan secara telus.  

“Dengan sokongan teknologi dan pengalaman luas Carro, kami yakin dapat bekerjasama dalam meningkatkan pengalaman digital para pengedar kereta terpakai di seluruh negara,” kata Fong lagi.

Google ads
Back to top button