Motosikal

DORNA RANCANG MULAKAN MOTOGP PADA JULAI. MUNGKIN TANPA PENONTON, 2 PERLUMBAAN DI SATU LITAR

Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta memberi gambaran bahawa beliau mahu memulakan musim perlumbaan MotoGP 2020 pada Julai sehingga November depan. 

Ketika penularan wabak COVID-19 menyebabkan semua acara sukan bermotor di seluruh dunia terpaksa dibatalkan, Ezpeleta kini sedang sibuk merangka strategi bagaimana untuk memulakan perlumbaan sebaik sahaja perintah lockdown ditamatkan. 

Penganjur MotoGP itu terbuka kepada semua pilihan. Ini termasuklah berlumba tanpa penonton dan mengadakan beberapa perlumbaan di satu litar. Buat masa sekarang, Dorna menyatakan ia boleh menganjur 20 perlumbaan untuk ketiga-tiga kelas Grand Prix. 

Mengakui keputusan tidak terletak di tangannya, Ezpeleta bagaimanapun berharao perlumbaan di litar Eropah dapat dilaksanakan jika pasukan boleh bergerak melalui jalan darat. 

“Kita sudah melihat pelbagai senario berbeza dan optimis untuk memulakan perlumbaan pada hujung Julai. Kemudian, ia bergantung kepada dua keadaan. Pertama, adakah sesebuah negara itu membenarkan kami menganjurkan perlumbaan. Kedua, kami dapat kebenaran untuk bergerak dari sebuah negara ke negara lain. 

“Secara prinsipnya, kami kini memberi tumpuan untuk memulakan perlumbaan di Eropah. Ini merupakan senario terbaik. Kami mungkin boleh menganjurkan dua perlumbaan di litar yang sama sebelum berpindah ke litar lain. Di Eropah, kita boleh bergerak menggunakan kereta,” jelas Ezpeleta. 

Dorna kini bekerjasama rapat dengan pihak IRTA. Manakala pasukan pula berusaha untuk memastikan berapakah jumlah maksimum krew yang diperlukan di paddock. Jadi, anggaran semua sekali mungkin sekitar 1,300 orang dan perlumbaan harus boleh disiarkan di televisyen. 

Jika perlumbaan gagal dimulakan pada Julai, Ezpeleta memberi gambaran bahawa ia perlu dijalankan pada September. Namun, ia bukanlah satu tugas yang mudah. Setakat ini, lima perlumbaan telah dibatalkan melibatkan litar Losail, Jerez, Le Mans, Mugello dan Barcelona. 

Sekiranya rancangan ini menjadi kenyataan, musim MotoGP akan dimulakan di litar Sachrenring, Jerman pada 21 Julai depan. 

Tags
Google ads
Back to top button