
DUCATI CORSE CREDIT TAWAR KADAR FAEDAH SERENDAH 4.88%. DAH BOLEH MILIKI JENTERA DUCATI
Ducati Malaysia dan Next Bike Sdn Bhd mengumumkan kemudahan pembiayaan memiliki motosikal baharu dikenali sebagai Ducati Corse Credit (DCR).
DCR ditawarkan melalui anak syarikat Kumpulan Naza iaitu Naza Credit & Leasing Sdn. Bhd.
Menariknya tentang skim pembiayaan terbaharu itu ialah ia dikhaskan untuk pembelian model Ducati dan siri Scrambler.
Bahkan, DCR menawarkan kadar faedah serendah 4.88 peratus setiap tahun dengan bayaran muka serendah 10 peratus.

Selain itu, tempoh pinjaman yang ditawarkan adalah sehingga tujuh tahun dan kadar kelulusan lebih cepat.
Para peminjam juga boleh mendapatkan aksesori Ducati melalui skim pembiayaan tersebut.

Ketua Syarikat Ducati Malaysia dan Next Bike, Dennis Michael berkata secara purata, hampir 30 peratus pelanggan membeli motosikal Ducati secara tunai.
“Baki 70 peratus menggunakan kaedah pembiayaan bank biasa dan syarikat kredit seperti AEON Credit,”katanya.
Sementara itu, beliau memberitahu terdapat dua buah pusat eksklusif Ducati Centre baharu akan menemui peminat dan para pemilik jentera Ducati.

“Penubuhan Pusat Ducati baharu akan mengukuhkan rangkaian sedia ada Ducati Malaysia, yang termasuk kemudahan di Sungai Buloh dan Pulau Pinang serta pusat 3S bertauliah terbesar dan bilik pameran Ducati kedua terbesar di Asia Tenggara di Petaling Jaya,” katanya.
Dua pusat pameran baharu itu akan dibuka di Wisma Pahlawan, Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur yang akan dikendalikan oleh Madani Greatlink Sdn Bhd, manakala sebuah lagi akan dibuka di Taman Daya, Johor Bahru yang akan dioperasikan oleh Ultra Maxlink Sdn Bhd.