Buletin

DUCATI MULTISTRADA V4 BAHARU, SIAP DENGAN RADAR!

Kepada peminat motosikal kembara Ducati, ini ada buah tangan terbaru yang hadir dengan pakej menarik. Ducati Multistrada V4 baharu, dibangunkan untuk menjadi sebuah motosikal sporti dan selesa, mampu menawan pelbagai keadaan jalan sama ada aspal atau berbatu dalam keadaan selamat dan kukuh.

Sejak dikeluarkan pada 2003 lebih 110,000 unit Multistrada dikeluarkan dan melalui pelbagai evolusi.

Satu perkara menarik apabila Multistrada bermula sebagai motosikal sport dengan tork yang baik dan lebih sesuai diguna untuk jalan raya biasa.

Bermula pada tahun 2010 barulah Multistrada hadir dengan konsep empat motosikal dalam satu dan motosikal pertama di dunia dilengkapi Mod Tunggangan (Riding Mode).

Pada tahun 2015, enjin dengan pemasaan boleh ubah yang pertama diperkenal dan mempertingkatkan lagi kelancaran penghantaran kuasa. 

Multistrada baharu atau generasi keempat yang diperkenalkan ini lebih berprestasi tetapi kekal mudah untuk ditunggang. Ianya juga lebih ringan, versatil, selesa dan pada masa yang sama cekap di dalam pelbagai keadaan tunggangan.

Dalam erti kata lain, Ducati mahu Multistrada V4 untuk menjadi model Multi terbaik atau Multistrada terbaik setakat ini. Perkataan Multistrada di dalam bahasa Itali bermaksud pelbagai atau banyak jalan.

Ducati mengkelaskan Multistrada V4 baharu mengikut empat ciri utama iaitu Sport, Touring, Enduro dan Urban.

Multistrada V4 adalah model Sport kerana ianya ringan dan kompak, berkuasa 170 hp, dilengkapi sistem bantuan elektronik MotoGP dan binaan casis yang menyumbang kepada tunggangan menyeronokkan di dalam pelbagai muka keadaan bumi.

Karakter Touring terletak pada selang penyelenggaraan setiap 60,000 km, keselesaan tunggangan, peta navigasi yang dipaparkan pada skrin dan paling menarik ialah sistem radar dan merupakan motosikal pertama di dunia dipasangkan pada bahagian depan dan belakang.

Karakter Enduro merujuk kepada keupayaan off-road cemerlang, suspensi elektronik, penghantaran kuasa lancar dan nisbah gear.

Urban pula membawa kesenangan tunggangan pada kelajuan rendah, sambungan telefon pintar dan penelitian terhadap keselesaan termal.

Dari segi reka bentuk, Multistrada baharu ini jelas menonjol pada bahagian depan dengan tangki minyak 22 liter dan bahagian belakang yang langsing.

Ciri tersebut menyumbang kepada kedudukan tunggangan yang optimal dan semasa berdiri ketika melalui jalan off-road. Kajian pada laluan aerodinamik membantu dalam memberi keselesaan buat penunggang.

Berikut ialah ringkasan ciri-ciri Multistrada V4 2020:

Enjin

  • Enjin V4 Granturismo 1,158 cc. Berat 66.7 kg dan saiz kompak.
  • 170 hp pada 10,500 rpm dan tork maksimum 125 Nm pada 8,750 rpm.
  • Selang tukaran minyak enjin setiap 15,000 km, pemeriksaan injap (valve clearance check) dan pelarasan setiap 60,000 km.
  • Sistem nyahaktif silinder dalam keadaan melahu seperti berhenti di lampu isyarat. Lebih selesa apabila kurang haba dan mengurangkan penggunaan minyak.

Elektronik

  • Sistem radar depan dan belakang yang membolehkan penggunaan Adaptive Cruise Control (ACC) dan Blind Spot Detection (BSD).
  • IMU menguruskan operasi ABS Cornering, Ducati Wheelie Control (DWC), Ducati Traction Control (DTC) dan Cornering Lights (DCL) pada Multistrada V4 S.  
  • Sistem Vehicle Hold Control (VHC) – Ciri standard pada Multistrada V4 membantu untuk bergerak semula pada jalan curam.
  • Sistem kawalan Ducati Skyhook Suspension (DSS) dengan fungsi Autoleveling – Multistrada V4 S.

Kerangka dan badan

  • Rangka monokok aluminium.
  • Roda depan 19 inci, lengan ayun dua sisi dan boleh dimuatkan roda lidi.
  • Jarak roda 1,567 mm, suspensi dengan kelegaan (travel) 170 mm pada bahagian depan dan 180 mm pada roda belakang. 
  • Kelegaan bumi 220 mm, berat kering 215 kg.
  • Penelitian keselesaan ala parameter kereta iaitu Bunyi, Getaran, Kekasaran (NVH).
  • Dengan itu, kajian aerodinamik dibuat dengan teliti termasuk menggunakan terowong angin bagi mendapatkan perlindungan terbaik untuk penunggang dan pembonceng dari angin, mengurangkan bunyi berdesit dan mengalihkan suhu panas enjin jauh dari kaki penunggang.

Warna dan varian

  • Merah dan Aviator Grey (V4 S).
  • Pilihan roda lidi atau aloi
  • Pakej spesifikasi pesanan terus dari kilang; Essential, Travel, Radar, Performance, Full.
  • Multistrada V4 S Sport – Grafik khas dalam spesifikasi Performance dengan ekzos Akrapovič dan fender depan karbon.

Harga belum didedahkan dan Ducati Multistrada V4 dijadual untuk berada di pengedar Ducati bermula hujung November.

BACA: BASIKAL LIPAT DUCATI, MACAM RANGKA MOTOR BESAR!

BACA: ENJIN BAHARU DUCATI, V4 GRANTURISMO 170HP 125NM

BACA: TAHUKAH ANDA? JUALAN Q3 DUCATI TERBAIK SETAKAT INI

Google ads
Back to top button