Motosikal

HONDA ADV 150 RASMI DILANCARKAN. 2 PILIHAN WARNA, BREK ABS, RM11,999 SAHAJA!

Boon Siew Honda akhirnya melancarkan model paling ditunggu-tunggu ramai iaitu ADV150 ke pasaran tempatan menerusi sesi Facebook live sebentar tadi.

Sudah boleh didapati di semua pengedar sah Boon Siew Honda, skuter adventure itu ditawarkan pada harga RM11,999 seunit, jauh lebih murah berbanding anggaran awal iaitu sekitar RM15,000. Harga itu bagaimanapun tidak termasuk insurans, cukai jalan dan yuran pendaftaran.

ADV 150 didatangkan dalam dua warna menarik iaitu merah dan kelabu metalik.

Dibina di atas platform skuter Honda PCX, ADV150 tampil menarik dengan reka bentuk yang agresif dikenali sebagai Urban Explorer.

Penampilannya diserlahkan dengan sistem lampu utama LED sepenuhnya bersama lampu nyalaan siang (DRL). Gayaan sebuah jentera adventure lebih jelas dengan adanya windshield yang boleh dilaras dua tahap.

Berbeza dengan pasaran Thailand, kita hanya menerima rim aloi hitam, rim berwarna emas tidak ditawarkan.

Seperti yang boleh dilihat, ADV 150 menawarkan posisi tunggangan lebih menegak dan selesa. Bar hendal yang sedikit lebar membuatkan urusan mengendalikan skuter ini di laluan sibuk semakin mudah. 

ADV 150 dikuasakan oleh enjin empat lejang dengan sistem pancitan bahan api PGM-FI eSP dan sistem penyejukan cecair bersesaran 150cc. Enjin tersebut mematuhi piawaian Euro4.

Dengan kapasiti tangki 8 liter, anda boleh pergi lebih jauh dengan ADV 150. Di bawah pelana, ruang penyimpanan barang seluas 27.8 liter pasti berguna untuk meletak barang-barang berharga.

Bukan itu sahaja, bahagian konsol hadapan dilengkapi satu slot pengecas 12V untuk membolehkan anda mengecas peranti pintar.

Sistem Emergency Stop Signal (ESS) pasti dapat meningkatkan lagi aspek keselamatan penunggang. ESS berfungsi mengaktifkan lampu isyarat membelok secara automatik apabila brek ditekan keras.

Terlupa parkir di mana? Jangan risau kerana ADV 150 didatangkan dengan sistem kunci kawalan jauh dengan fungsi fungsi pengesanan, selain dapat  menghalang insiden kecurian. 

Tugas membrek diserahkan kepada sistem brek ABS pada roda hadapan dengan cakera bersaiz 240mm dan 220mm di belakang untuk memberi cengkaman terbaik dalam apa jua situasi.

Pengendalian mantap jentera itu pula disumbangkan oleh suspensi jenis teleskopik di hadapan dan penyerap hentak bersama sub-tangki jenama Showa di belakang. 

Jentera ini hadir dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km (mana-mana tiba dahulu).

Tunggu apa lagi? Esok boleh terus pergi kedai untuk buat tempahan.

GALERI

Google ads
Back to top button