Motosikal

HONDA CRF1100L AFRICA TWIN ADVENTURE SPORTS 2022. SKRIN TFT 6.5 INCI, APPLE CARPLAY, TRICOLOR, RM117,888 SEUNIT

Boon Siew Honda baru-baru ini memperkenalkan versi naik taraf jentera adventure popular mereka, CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ke pasaran tempatan. 

Mula dilancarkan pada tahun 2018 dengan penampilan astetik dan chasis yang selesa untuk tunggangan jarak jauh, Africa Twin memang terbukti sebagai sebuah motosikal serba boleh. Pada tahun 2020, versi dengan enjin 1,084cc bersama gayaan rali pula diketengahkan untuk memenuhi kehendak pengguna di negara ini. 

Bagi model tahun 2022, CRF1100L Africa Twin Adventure Sports menerima beberapa bentuk perubahan seperti talaan kotak gear DCT untuk tunggangan lebih lancar pada gear 1 dan 2. Ini membolehkan penunggang memulakan tunggangan dengan lebih mudah dan selamat, terutama dalam kelajuan rendah. 

Skrin 110mm lebih pendek dengan lima larasan pula menambah baik aspek pandangan, tetapi masih mampu memberi perlindungan daripada angin kepada penunggang. 

Penampilan jentera tersebut ditingkatkan lagi dengan grafik ‘Cracked Terrain’. Bagi membolehkan ia ditunggang dalam jarak lebih jauh, tangki bahan api kini sebesar 24.8 liter.

Penambahbaikan lain termasuklah perlindungan angin yang ekstensif pada fairing dan panel sisi, pelindung enjin lebih besar, carrier aluminium di belakang, tayar tanpa tiub, pengecas ACC dan pemanas hendal hadir sebagai ciri standard. 

Aspek keselamatan dipertingkat menerusi kawalan six-axis Inertial Measurement Unit (IMU) yang bukan sahaja mengawal tujuh tahap sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC), malah mengendalikan Kawalan Wheelie tiga tahap, Cornering ABS, Rear Lift Control dan pengesan membelok DCT.

Jentera itu hadir bersama empat mode suspensi yang ditetapkan secara default iaitu SOFT, MID, HARD dan OFF-ROAD untuk disesuaikan dengan apa jua situasi tunggangan. Spring belakang juga boleh dilaras secara manual. 

Untuk memberi kawalan sepenuhnya, posisi tunggangan terdiri daripada pelana yang lebih slim dan bar hendal sedikit tinggi. Lampu nyalaan siang (DRL) LED tampil dengan lampu membelok tiga tahap yang akan mengubah suai cahaya bergantung kepada sudut baring (lean), sekali gus meningkatkan keselamatan. 

Satu lagi ciri baharu yang ditawarkan ialah skrin sentuh TFT bersaiz 6.5 inci. Ia boleh diintegrasikan dengan Apple CarPlay dan Android Auto menggunakan kabel USB. 

CRF1100L Africa Twin Adventure Sports 2022 didatangkan secara eksklusif dalam warna putih mutiara Tricolor dan ditawarkan pada harga RM117,888 seunit.

GALERI

Google ads
Back to top button