Motosikal

LELAKI MAUT HARI PERTAMA TUNGGANG MOTOSIKAL KE TEMPAT KERJA

Hari pertama seorang pemandu lori sebuah kilang menunggang motosikal ke tempat kerjanya, berakhir tragedi apabila dia maut dalam nahas di Kilometer 45 Jalan Klang-Teluk Intan di Kuala Selangor, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.15 pagi, lelaki berusia 43 tahun itu maut di tempat kejadian akibat parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu motosikal Modenas Kriss ditunggang mangsa dan sebuah kereta Toyota Yaris.

Beliau berkata, kemalangan berlaku apabila Toyota Yaris dipandu seorang wanita berusia 26 tahun dalam perjalanan dari Klang ke Teluk Intan.

“Tiba di lokasi, pemandu kereta dikatakan gagal mengelak motosikal yang keluar simpang secara tiba-tiba di hadapannya.

“Kereta itu kemudian melanggar motosikal terbabit di bahagian sisi kanan,” katanya ketika dihubungi.

Ramli berkata, akibat pelanggaran itu penunggang motosikal cedera parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Klang. “Mangsa sebelum ini biasa membawa kereta dan ini kali pertama dia menunggang motosikal pergi kerja. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Berita Harian

Google ads
Back to top button