Pandu Uji

MAZDA CX-5 GENERASI BARU LEBIH PREMIUM – MESTI TUNGGU, LANCAR JULAI 2017    

Model CX-5 adalah turning point yang penting untuk Mazda. Bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia secara amnya.

Sejak diperkenalkan ke pasaran pada tahun 2012, CX-5 terus mencatat jualan memberangsangkan sehingga kini. SUV itu menyumbang sebanyak 25 peratus daripada jualan keseluruhan Mazda. Dipasarkan di hampir 120 buah negara, lebih 1.4 juta CX-5 sudah terjual di seluruh dunia.

Di Malaysia, pengedarnya iaitu Bermaz Motor sudah pun mengetengahkan model facelift dan varian CX-5 diesel pada tahun lalu demi menawarkan produk yang terbaik kepada pelanggan.

Oh ya, Bermaz Motor turut mengeksport CX-5 yang dipasang di kilangnya di Kulim, Kedah ke pasaran Asean lain seperti Thailand. Ia dijangka menjengah pasaran Kemboja, Indonesia dan Myanmar pada separuh kedua tahun ini.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, kenapa CX-5 begitu berjaya? Harus tahu bahawa CX-5 ialah model pertama mengaplikasikan semua teknologi SKYACTIV yang kemudiannya digabungkan dengan falsafah rekaan baharu Mazda, KODO – Soul of Motion.

Hasilnya, sebuah SUV yang bukan sahaja cantik, malah maju dari semua segi. Bagi mereka yang tidak mahu mengikut trend dengan memilih jenama lebih massa, Mazda menjadi pilihan terbaik. Ditambah dengan kebolehpercayaan sebuah jenama dari Jepun.

Ketika pengeluar kenderaan lain sibuk untuk mencapai sasaran menjadi pembuat kereta terbesar dunia, Mazda menegaskan bahawa ia mahu kekal kecil. Tetapi, pada masa sama mampu memberikan produk yang ingin dimiliki kepada pelanggan.

Mazda tahu apa yang hendak dilakukannya. Mazda mahu menghasilkan kereta yang cantik, premium, bernilai untuk wang, selain menawarkan pengendalian dan ciri keselamatan terbaik dalam kelasnya.

Semua itu dapat dilihat dengan jelas pada semua model lain keluaran Mazda. Maka tidak hairanlah jika kelompok pembeli baru kian tertarik dengan produk yang mereka tawarkan.

CX-5 generasi baru melakukan debut pada acara Los Angles Auto Show 2016. Ia juga sudah mula dijual di pasaran Jepun sejak Februari lalu. Sejak itu, perkembangan CX-5 terus diekori rapat terutama oleh mereka yang tidak sabar untuk memilikinya apabila ia dijadual dilancarkan ke pasaran tempatan pada Julai  depan.

Apa yang pasti, ini ialah model generasi baru yang mendapat penambahbaikan pada semua segi. Tidak keterlaluan juga jika dikatakan bahawa ia telah menetapkan satu  penanda aras baru. Bukan sekadar untuk semua model Mazda, malah para pesaing dalam segmennya.

Dari segi luaran, falsafah rekaan KODO – Soul of Motion dilihat semakin matang. Memang betul, cantik atau tidak itu bersifat subjektif. Tetapi sukar untuk menafikan bahawa CX-5 baharu ini cukup menarik perhatian.

Ditambah dengan warna Soul Red Cystal, versi warna Soul Red Metallic yang lebih maju. Menggunakan teknologi cat Takaminuri, warna tersebut sangat menyerlah. Perubahan ketara dapat dilihat pada bahagian gril hadapan dengan rekaan jeriji lebih halus. Ia kemudian dipadankan dengan sepasang lampu utama LED yang nipis.

Saya merupakan antara media yang bertuah kerana diberi peluang untuk memandu uji CX-5 serba baharu di litar ujian milik Mazda di Mine, Yamaguchi Jepun baru-baru ini. sesi pandu uji tersebut adalah sebahagian daripada program Forum Media ASEAN Mazda 2017.

Di litar itu, CX-5 dibandingkan dengan dua SUV jenama pesaing. Satu dari Eropah dan sebuah lagi buatan Jepun. Selepas diberi taklimat ringkas, saya tidak sabar untuk masuk ke dalam kabin kereta. Selain daripada untuk memandu, satu lagi sebab ialah kerana saya tidak tahan dengan cuaca sejuk di sana.

Kelajuan ditingkatkan sedikit demi sedikit daripada 10 kepada 20, 30 dan 40km/j. Kelajuan itu diulang pada semua kereta yang dipandu uji. Kenapa perlahan sangat? Skema betul orang Jepun ni?

Rahsia kenapa kelajuan itu digunakan adalah untuk menunjukkan betapa lancarnya transmisi automatik pada CX-5. Kelancaran itu mampu membuatkan pemanduan di bandar sesak lebih menenangkan. Lebih menarik lagi, perbezaan dengan kereta lain agak ketara.

Pilihan enjin pada CX-5 dijangka tidak berubah berbanding model terdahulu. SUV itu dijangka terus menggunakan enjin petrol SKYACTIV-G bersesaran 2.0 dan 2.5 liter, selain enjin diesel SKYACTIV-D 2.2 liter.

Selain bahagian luaran, ruang kabin CX-5 menerima peningkatan yang bukan sedikit. Material yang digunakan kini jauh lebih premium. Malah boleh dikatakan setaraf dengan kualiti yang didapati pada model Lexus, Audi atau mungkin Mercedes-Benz. Kemasannya membuatkan anda ingin duduk seketika untuk menyentuh dan meneliti secara lebih dekat.

Sampai begitu sekali? Tidak percaya, tunggu dan duduk sendiri di dalam kabin CX-5 apabila ia dilancarkan kelak.

Ketika memandu, satu lagi perkara yang semua orang perasan ialah betapa senyapnya kabin CX-5 ini. berbeza dengan generasi sebelumnya, anda sukar untuk mendengar bunyi enjin atau angin, sebaik sahaja pintu dan tingkap ditutup rapat.

Gabungan kemasan dan kualiti NVH yang bagus membolehkan anda berada di dalam sebuah SUV berkualiti premium. Tetapi pada harga yang masih masuk akal.

Sebelum pulang, kami berpeluang untuk memandu CX-5 dan beberapa model Mazda yang lain. Kali ini dengan kelajuan lebih tinggi untuk mengikut rentak pecutan marshal di hadapan.

Dilengkapi teknologi terbaru dalam rangkaian sistem keselamatan dinamik kenderaan SKYACTIV iaitu G-Vectoring Control (GVC), tugasan melayani selekoh pada kelajuan tinggi jauh lebih menyeronokkan. Keupayaan brek juga sangat meyakinkan. Ini menyebabkan sesi pandu uji pada petang itu rasa begitu pantas berlalu.

Nampaknya, hala tuju Mazda untuk menjadi jenama dan pengeluar kenderaan dari Jepun yang lebih premium dapat dilihat dengan jelas pada CX-5. Walaupun harganya dijangka tinggi sedikit berbanding SUV lain, pakej pada CX-5 membuatkannya ia berada dalam kelasnya yang tersendiri.

BACA: KUASA & PENJIMATAN – MAZDA6 & CX-5 SKYACTIV-D DIESEL

BACA: MAZDA CX-5 CECAH PRODUKSI 1 JUTA

GALERI

Google ads
Back to top button