
BERGELUT DENGAN KECEDERAAN, MARC MARQUEZ AKUI SUKAR HABISKAN PERLUMBAAN
Pelumba pasukan Repsol Honda, Marc Marquez mengakui bahawa dia kini berada dalam keadaan lebih teruk daripada jangkaan selepas menjalani pembedahan bahu kali kedua tahun lalu.
Dengan kondisi pembedahan bahu sebelah kanan yang masih belum pulih sepenuhnya, Marquez rasa dia tidak mampu menamatkan perlumbaan. Selepas dibedah pada 27 November lalu, juara dunia lapan kali itu sudahpun melengkapkan sesi pemulihan selama 250 jam.
Pada hari pertama menungang jenteranya dalam sesi ujian pra-musim di Litar Sepang, pelumba Sepanyol itu berjaya menamatkan 37 pusingan. Catatan masa terbaik hanya mampu menempatkannya di kedudukan ke-11, 0.731 saat di belakang pendahulu ujian, Fabio Quartararo.
Menjelaskan tentang perbezaan di antara dua proses pemulihan bahunya, Marquez memberitahu ototnya kini dalam keadaan lebih baik berbanding tahun lalu.
“Sangat berbeza. Tahun ini saya rasa kurang sakit, tetapi kurang tenaga. Saya sudah jangkakan keadaan ini kerana salah satu otot pada bahagian bahu masih belum berada dalam keadaan sempurna. Jadi ketika menunggang, memang sukar untuk siku menyentuh litar apabila mengambil selekoh.
“Rasanya seperti ada otot yang tidak berfungsi dalam keadaan yang betul. Tetapi saya yakin ia semakin pulih,” katanya yang juga perlu bersedia dari segi mental.
Marquez terpaksa menjalani sesi pemulihan yang ekstensif untuk berada dalam keadaan cergas sebelum musim 2020 bermula. Dia mengorbankan masa cuti demi persediaan saingan pertama di Qatar Mac depan.
- BACA: MOTOGP 2020: APAKAH FAKTOR YANG MAMPU MENGHALANG MARQUEZ DARI MENJADI JUARA SEKALI LAGI?
- BACA: MASA SEMAKIN SUNTUK BUAT MARQUEZ. BAHU KANAN TIDAK SEMBUH SEPERTI YANG DIHARAPKAN
- BACA: JENTERA HONDA RC213V DIBINA HANYA UNTUK MARQUEZ? INI JAWAPAN BOS REPSOL HONDA MOTOGP
- BACA: SAYA MAHU MOTOSIKAL PALING LAJU DAN BUKANNYA YANG MUDAH DIKAWAL – MARC MARQUEZ