Motosikal

SHARK BELI NOLAN – MAHU TINGKATKAN PENGUASAAN DI PASARAN AMERIKA DAN ASIA

Perkembangan menarik berlaku dalam dunia pembuatan topi keledar apabila Shark dilapor telah membeli Nolan.

Transaksi itu sebenarnya berlaku di antara dua syarikat induk iaitu 2Ride Holding Group yang mengeluarkan topi keledar jenama Shark, Bering, Ségura, Bagster dan  Cairn serta Nolan Group (Nolan, Grex dan X-lite).

Langkah pengambilalihan oleh pembuat topi keledar dari Perancis itu dilihat akan membentuk satu kumpulan jenama topi keledar yang cukup berpengaruh di Eropah. Ia juga akan menjadi lebih kuat untuk bersaing dengan pengeluar lain seperti Alpinestars dan Dainese/AGV.

Pembelian itu juga membolehkan kedua-dua syarikat terbabit meningkatkan usaha dalam menambah baik penguasaan pasaran luar Eropah yang kian berkembang, terutama di Amerika Utara dan Asia.  

“Kami sangat teruja untuk mengumumkan penggabungan ini. Matlamat utama kami adalah untuk mengoptimumkan kepakaran demi menawarkan para pelanggan dengan produk yang lebih mudah digunakan di peringkat global,” kata Presiden 2Ride Holding, Patrick François.

François menyatakan jenama Shark dan Nolan mempunyai nilai yang sama iaitu komited untuk meningkatkan aspek keselamatan penunggang. Kini, kedua-dua pasukan telah mula menjalin kerjasama untuk menghasilkan produk terbaik buat semua.

Tak sabar nak tengok hasil kerjasama dua jenama besar ini tidak lama lagi.

Google ads
Back to top button