Motosikal

SYM VIETNAM LANCAR KAPCAI GALAXY 50. SESUAI UNTUK REMAJA DI MALAYSIA. BERMULA RM2.7K SAHAJA

Bagi mengekang masalah rempit di seluruh negara terutama melibatkan remaja, Polis Diraja Malaysia baru-baru ini mengemukakan cadangan kategori pelesenan baru bagi golongan remaja terbabit.

Jika diluluskan, cadangan yang diusulkan kepada Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Kementerian Pengangkutan itu bakal menyaksikan remaja berusia 16 hingga 20 tahun hanya dibenarkan menunggang motosikal di bawah 70cc sahaja menjelang tahun 2025.

Cadangan tersebut dibuat kerana pihak polis menyifatkan model kapcai yang dijual di pasaran sekarang “sebagai sumber yang mendorong kehancuran generasi muda, khasnya di kawasan pinggir bandar dan luar bandar”.

Sebagai contoh, model kapcai popular Yamaha Y15ZR boleh diubah suai sehingga mampu mencatat kelajuan 160km/j.

Persoalannya, motosikal baharu mana yang didatangkan dengan enjin bawah 70cc ditawarkan di pasaran sekarang? Ini kerana kebanyakan model kapcai atau skuter moden paling kurang pun dilengkapi enjin 100cc.

Jangan risau, ada satu model yang mungkin sesuai untuk remaja di Malaysia. Untuk makluman, SYM Vietnam baru sahaja melancarkan kapcai SYM Galaxy 50 di sana.

Seperti namanya, motosikal itu menggunakan enjin berkapasiti 49.5cc yang hanya mampu menjana kuasa maksimum 2.78PS pada 7,500rpm dan tork 2.94Nm pada 6,500rpm.

Enjin dengan sistem penyejukan udara itu kemudian dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan.

Kedua-dua roda dipasang dengan brek jenis gelendong. Manakala saiz rim pula ialah 17 inci. SYM Galaxy 50 didakwa menawarkan penggunaan bahan api sekitar 1.29 liter bagi setiap 100km dengan kapasiti tangki cuma 4 liter. Motosikal itu juga cukup ringan, cuma 98kg.

SYM Galaxy 50 yang hadir dalam warna hitam ditawarkan dengan varian rim aloi dan lidi.

Harganya bermula 15.9 juta VND (RM 2,774) sehingga 17 juta VND (RM2,964) sahaja. Murah betul… – Arena Motosikal

GALERI

Google ads
Back to top button