Modifikasi

TOYOTA ALTEZZA TURBO

Saya sememangnya cukup berminat dengan Toyota Altezza generasi pertama. Ia merupakan percubaan Toyota untuk bersaing dalam pasaran yang selama ini dikuasai oleh BMW 3-Series dan Mercedes C-Class.

Toyota-Altezza-turbo-mekanika (1)

Dijual menggunakan jenama Lexus di luar Jepun, model ini boleh dikatakan agak berjaya untuk memecah monopoli kereta-kereta buatan Jerman berkenaan.

Model tersebut asalnya dipacu oleh enjin 3S-GE BEAMS VVT-i rekaan Yamaha yang sebelum ini memang sudah banyak berkolobrasi dengan Toyota untuk menghasilkan enjin berprestasi tinggi.

Toyota-Altezza-turbo-mekanika (9)

Bagi saya, inilah kelebihan besar Altezza berbanding dengan BMW atau Mercedes-Benz (mungkin kecuali model M3 atau AMG) kerana enjin yang digunakan amat berkuasa tinggi dan paling penting, sangat boleh diharap.

Kalau saya, memang tak mahu usik enjin. Sebabnya, selain daripada enjin K20A Type-R buatan Honda, enjin BEAMS ialah antara enjin N/A yang paling berkuasa dan sememangnya seronok untuk dilayan. Kuasa kudanya mencecah 210hp. Kalau anda dapat model bertransmisi manual, lagi la sedap melayan kereta ini.

Toyota-Altezza-turbo-mekanika (17)

Tapi itu kalau saya. Kalau orang lain, jadilah macam kereta dari negeri di bawah bayu ini. Mula-mula kereta ini sampai ke lokasi shooting, saya dah perasan intercooler di  sebalik bampar hadapannya. Fuh! Turbo siot! Bukak bonet depan, woah! Dah masuk enjin 1JZ-GTE rupa-rupanya! Enjin yang diambil daripada model Toyota Soarer. Enjin ni merupakan enjin 1JZ generasi ketiga yang mudah dikenali dengan logo VVT-i pada penutup enjin.

Berbeza dengan enjin 1JZ generasi pertama dan kedua, enjin ini menggunakan sistem turbo tunggal berbanding berkembar pada model-model terdahulu. Perubahan-perubahan ni membuatkan enjin mampu menghasilkan 280hp dalam keadaan standard. Alaa… Lebih sikit sahaja berbanding enjin BEAMS kan? Anda lupa, kuasa tork enjin ini 379Nm tau tak? Boleh tarik lori terbenam dalam lumpur woo…

Toyota-Altezza-turbo-mekanika (18)

Pemilik Altezza yang misteri ini tak banyak mengubah suai enjin yang dimasukkan ke keretanya. Sebaliknya hanya menggunakan aksesori bolt-on sahaja. Antaranya ialah intercooler HKS, injap blow-off GReddy dan penapis udara A’PEXi.

Tak lupa juga ialah paip intercooler rekaan custom dan hos-hos silikon daripada Samco  yang menyempurnakan projek pengubahsuaian enjin ini. Untuk ekzos, kereta ini menggunakan paip tengah custom 3 inci dengan peredam bunyi HKS.

Toyota-Altezza-turbo-mekanika (13)

Dengan kuasa kuda yang tinggi dan tork maksima mampu dicapai pada rpm rendah, enjin ini sememangnya sedap dipadankan dengan kotak gear auto. Ya! Aku tak silap taip, memang betul, auto. Itulah yang dibuat oleh pemilik Altezza ini, dia salin enjin dengan kotak gear automatik sahaja.

Anda mungkin fikir pandu kereta auto rasa lemau, tapi mungkin sebab kereta auto yang anda bawa itu Proton Wira 1.5. Cuba la rasa bawa kereta turbo bersesaran besar dengan kotak gear auto, memang best. Kalau tak best, masakan kotak gear auto ialah kotak gear pilihan untuk pelumba drag yang menggunakan enjin berkapasiti besar?

Toyota-Altezza-turbo-mekanika (8)

Kereta yang direka asalnya untuk pemanduan yang selesa kini sudah ditukar menjadi sporty. Pemiliknya menggantikan semua penyerap hentak asal kepada penyerap hentak jenis boleh laras jenama Tein yang lengkap dengan sistem EDFC.

Ruang arca roda kereta ni dipenuhkan oleh set rim Work Emotion CR Kai asli yang berdiameter 18 inci.Rim ringan buatan Jepun ini dibalut dengan tayar Dunlop bersaiz 225/40/18 yang mampu memberikan cengkaman yang cukup baik.

Toyota-Altezza-turbo-mekanika (4)

Brek kereta pula mendapat khidmat brek Brembo di depan yang berfungsi dengan baik apabila digandingkan dengan brek cakera standard Altezza pada roda belakang.

Ruang kokpit turut menerima proses pengubahsuaian. Pemiliknya meletakkan tujuh buah meter tambahan daripada Defi di atas papan pemuka kereta yang memberikan bacaan yang lengkap tentang boost, suhu air, rpm dan macam-macam lagi. Gugusan meter asal kereta pun sudah diganti dengan meter TRD yang boleh dikatakan sebagai aksesori yang agak rare.

Toyota-Altezza-turbo-mekanika (6)

Untuk penampilan luaran, Altezza putih ini dipasang kit badan TRD Neo yang datang lengkap dengan bampar hadapan, skirting sisi, lips bampar belakang dan spoiler tinggi di atas bonet belakang. Sepasang sirip custom turut dipasang pada bahagian fender bagi memberikan sedikit kelainan.

Walaupun kereta ini mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk dijadikan bahan modifikasi, ia bagaimanapun kurang popular. Harga di pasaran terpakai pun tidak terlalu mahal. Harga dalam RM50,000. Nanti tunggu tahun depan beli kereta ini, mesti lagi murah…
[hr]GALERI

Toyota-Altezza-turbo-mekanika (3)Toyota-Altezza-turbo-mekanika (7)Toyota-Altezza-turbo-mekanika (11)Toyota-Altezza-turbo-mekanika (12)Toyota-Altezza-turbo-mekanika (15)Toyota-Altezza-turbo-mekanika (16)

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button